Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.09.07

Zorro Wiro sokong penuh Hamidin

Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro

KELAB Zorro Wiro Selangor FC menyatakan sokongan penuh kepada Hamidin Mohd Amin (gambar) selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presidennya, Khaidzir Ishak Ubah, berkata Hamidin yang juga setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) adalah calon paling layak mengisi kekosongan itu.

Pemilihan ke atas Hamidin bukan kerana kepentingan tertentu tetapi persetujuan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.

Sebagai kelab gabungan atau kumpulan secara global dan total, Khaidzir menyeru Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah memilih Hamidin untuk jawatan berkenaan.

"Setiausaha Agung yang dipilih mestilah memiliki ciri-ciri yang baik. Mereka dapat memahami masalah pemain, sentiasa turun padang serta memiliki hubungan baik dengan semua pihak.

"Sebab itulah, kami di kelab ini menyokong Hamidin kerana beliau memiliki ciri-ciri tertentu. Bukan dipaksa atau melobi tapi inilah realiti yang ada padanya.

"Beliau juga sudah membuktikan kejayaan pasukan negara menjuarai Pestabola Merdeka, baru-baru ini dan ini menunjukkan titik permulaan ke arah peningkatan bola sepak negara bukan di peringkat serantau malah antarabangsa," katanya.

Menurutnya, Sultan Ahmad Shah sangat arif untuk melakukan pemilihan itu berdasarkan kepada faktor yang boleh disokong.