Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
04.10.07

Akmal kekal di Selangor

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

BERITA HARIAN hari ini melaporkan bahawa selepas timbul desas-desus penyerang utama Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli meninggalkan juara 30 kali Piala Malaysia itu, pemain itu mengesahkan dia akan kekal bersama Selangor pada musim baru yang bermula 17 November ini.

Difahamkan, Akmal pada mulanya tidak menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Merah Kuning itu kerana tidak mencapai persetujuan dengan tawaran awal yang ditawarkan, tetapi selepas pertemuan semula dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), kedua-dua pihak akhirnya mencapai kata sepakat.

"Saya gembira segala-galanya sudah selesai sekarang. Kini tumpuan saya ialah mahu menjuarai sekurang-kurangnya satu piala buat Selangor pada musim ini.

"Ini adalah musim kedua saya bersama Selangor, dan saya memang berazam mahu menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan bersama Selangor kerana masih belum mencapai sebarang kejayaan di sini," kata Akmal.

Akmal juga menafikan perancangan FAS untuk mengambil penyerang import musim ini adalah punca penangguhan dia menandatangani kontrak bersama Selangor. Sebaliknya, dia menyambut baik perancangan pengurusan menambah pemain di posisi serangan.

"Saya difahamkan musim baru ini lebih padat daripada musim lalu. Oleh itu, sudah pasti jurulatih (Dollah Salleh) memerlukan lebih daripada satu pilihan di bahagian serangan.

"Jurulatih perlu menurunkan kesebelasan terbaik pada setiap masa dan dengan adanya lebih banyak pilihan, ia akan memudahkan tugasnya membentuk gandingan terbaik sekiranya timbul masalah kecederaan.

"Saya menyambut baik jika barisan kali ini diperkuatkan dengan penyerang import dengan harapan dia akan dapat membantu kami mencapai kejayaan musim ini," kata bekas penyerang Kedah itu.

Selain daripada menyimpan hasrat untuk mencapai kejayaan bersama Selangor musim ini, Akmal juga mengakui harapannya untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan pimpinan B Sathianathan tetap menebal.

Akmal enggan mengenang kembali kekecewaan dan kegagalan di Piala Asia lalu, sebaliknya mahu bersedia mengerah kudrat buat skuad kebangsaan bagi meneruskan misi meningkatkan semula martabat bola sepak negara.

"Sudah pasti saya mahu kembali ke skuad kebangsaan. Apabila melihat aksi mereka menjuarai Pestabola Merdeka, ia membuatkan saya mahu segera kembali ke skuad kebangsaan.

"Tetapi saya tetap menghormati dan memahami keputusan Sathianathan untuk tidak memanggil saya kali ini. Oleh itu, saya harus berada pada tahap terbaik pada musim baru nanti jika mahu kembali ke skuad kebangsaan pada tahun depan," kata bekas pemain remaja kelab Strasbourg itu.