25.10.07
Akmal Rizal perlu buktikan
Oleh: Sufian Thauri Muhammed, Harian Metro
BERBEKALKAN reputasi hebat dimilikinya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sepatutnya tidak perlu bimbang mengenai kedudukannya dalam kesebelasan utama Selangor.
Namun, bekas penyerang kebangsaan itu mengambil pendekatan berbeza musim ini susulan kehadiran Indra Putra Mahayuddin dan peningkatan prestasi rakan sepasukan, Mohd Amri Yahyah dan Safee Sali.
"Musim ini Selangor mempunyai barisan penyerang yang bagus dan saya perlu bersaing dengan mereka bagi mendapatkan tempat.
"Meskipun saya sudah ada nama, tetapi itu bukan jaminan saya akan sentiasa terpilih untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
"Saya perlu menunjukkan kepada jurulatih Dollah Salleh bahawa saya sentiasa dalam prestasi terbaik untuk mencerahkan peluang dipilih," katanya.
Harapan Selangor untuk menjulang trofi musim ini bergantung kepada keupayaan pasukan menjaringkan gol dan Akmal antara pemain yang diletakkan sandaran untuk melakukannya.
"Sasaran peribadi saya adalah membantu Selangor menjuarai sekurang-kurangnya satu trofi musim ini," katanya.
Pengalaman bermain di Perancis menjadi aset utamanya dalam memburu jaringan dan sepanjang latihan pra-musim Selangor di Perth ketika ini, Akmal tampak berbisa dengan sentuhannya yang mengelirukan lawan.
Dalam dua perlawanan persahabatan, dia menjaringkan satu gol ketika seri 3-3 dengan State League South, Ahad lalu, selepas dimasukkan dalam babak kedua.
Pada perlawanan menentang Floreat Athena yang menyaksikan Selangor tewas 2-3, Akmal bermain baik dan menghadirkan ancaman ke kubu lawan meskipun tidak menjaringkan gol.
Gandingannya dengan Amri mendapat pujian Dollah yang menyifatkan keserasian dua pemain itu semakin tinggi.
"Saya gembira kerana keserasian kedua-dua pemain ini amat baik dan mereka banyak menyukarkan benteng pertahanan lawan," katanya.
Mengulas mengenai kekalahan kepada Floreat Athena, Dollah berkata, keputusan bukan agenda utamanya kerana apa yang penting ialah memberikan pendedahan kepada pemain muda.
"Biarpun pasukan bermain baik, saya membuat keputusan menurunkan lima pemain muda bagi memberikan mereka pengalaman di separuh masa kedua.
"Kemasukan mereka di babak kedua memberikan kesan apabila rentak permainan kami tidak sebaik separuh masa pertama," katanya.
Antara pemain muda yang dimasukkan Dollah adalah pemain pertahanan, Mohd Zaiza Zainal Abidin dan pemain tengah, Wan Mohd Hoesne Wan Hussein.
Selangor membuka jaringan menerusi Amri pada minit ke-10 sebelum D Surendran merapatkan kedudukan dengan gol kedua di minit ke-89 ketika Selangor ketinggalan 3-1.
Namun, Dollah turut menyifatkan kelekaan pemain antara punca lawan dapat menjaringkan gol.
"Kecuaian dan kelekaan pemain menyebabkan lawan mendapat dua jaringan di babak kedua. Saya harap pemain mendapat iktibar daripada perlawanan ini," katanya.
Selangor akan bertemu pasukan State League North, hari ini, dan mereka masih menunggu ketibaan seorang pemain pertahanan import dari Nigeria yang sepatutnya menyertai pasukan dalam program persiapan di Perth.
(Harian Metro 25 Oktober 2007)