Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.10.07

Alasan Alberts sekat Asraruddin

Oleh: Harian Metro

NAMA Mohd Asraruddin Putra Omar pernah membanggakan komuniti bola sepak negara apabila diumumkan akan diuji kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven susulan mempamerkan prestasi cemerlang pada saingan Piala Juara-Juara Belia (CYC), Ogos lalu.

Mengikut perancangan asal, dia akan ke PSV pada 19 Oktober lalu dan semangat anak muda berusia 19 tahun ini membuak-buak untuk membuktikan pemain tempatan mampu bersaing di pentas Eropah.

Namun, impian Asraruddin yang juga mewakili hasrat jutaan peminat bola sepak negara berhadapan kemungkinan besar tidak kesampaian gara-gara alasan ganjil - Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaannya menguji bakat selama tiga minggu di Belanda.

Alasan ini dikemukakan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Robert Alberts, yang juga jurulatih skuad bawah 19 tahun negara di CYC apabila dihubungi sendiri pemain itu kira-kira seminggu sebelum 19 Oktober lalu untuk mencari kepastian sama ada dia akan ke PSV atau tidak.

Persoalan yang timbul kini apakah benar MSN tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan Asraruddin sedangkan organisasi itu sentiasa memiliki kedudukan kewangan kukuh untuk menampung pelbagai program sukan negara?

Bagaimanakah juga CYC, projek khas Kementerian Belia dan Sukan, yang menelan kos penganjuran berjuta-juta ringgit tidak mempunyai peruntukan untuk membiayai seorang pemain negara menguji kemampuannya di Belanda dalam keadaan wujudnya tawaran daripada sebuah kelab yang cekap melahirkan ramai bintang dunia?

Kenyataan Alberts bahawa MSN tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan amat mengelirukan dan apa yang pasti Asraruddin sedih kerana impiannya sejak kecil untuk menjadi pemain profesional di Eropah - bumi yang dianggap paling efektif dalam sukan bola sepak - tampak samar untuk dicapai.

Dan andai benar MSN tidak mempunyai peruntukan, apakah FAM sendiri tidak boleh membiayainya kerana tawaran daripada PSV sebenarnya satu pengiktirafan kepada kemampuan bola sepak negara sekali gus membuktikan CYC mempunyai hasil positif.

Asraruddin yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai kedudukannya sebaliknya dia meminta media mendapatkan penjelasan lanjut daripada Alberts. Dia kini bersama skuad Selangor dalam persiapan pra-musim di Perth, Australia.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, yang dihubungi berkata, beliau akan menuntut penjelasan daripada Alberts dalam isu berkaitan Asraruddin.

"Saya akan meminta dia memberikan jawapan secara bertulis selewat-lewatnya Jumaat ini," katanya yang turut tertanya-tanya dengan alasan dikemukakan Alberts.

(Harian Metro 24 Oktober 2007)