Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.10.07

Asraruddin sedia jumpa MSN, FAM

Oleh: Sufian Thauri Muhammed, Harian Metro

Asrarudin Putra Omar

HARIAN METRO hari ini melaporkan, pemain Selangor yang juga anggota skuad bawah 19 tahun negara, Mohd Asraruddin Putra Omar sedia memberikan penjelasan mengenai kesahihan dakwaannya terhadap alasan yang dikemukakan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Robert Alberts, kepadanya jika diminta Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM.

"Terpulang kepada MSN dan FAM. Kalau mereka hendak jumpa, saya akan jumpa. Apa yang boleh saya buat sekarang selain daripada menunggu. Jika dapat ke PSV, saya bersyukur dan kalau tidak, saya anggap tiada rezeki," katanya.

Semalam, Asraruddin mempertahankan diri dengan menegaskan dia hanya mengulangi alasan yang dikemukakan Alberts mengapa dia tidak dapat menjalani ujian dan latihan dengan kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Asraruddin diberitahu Alberts bahawa dia tidak dapat ke PSV seperti yang dijadualkan 18 Oktober lalu kerana MSN tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaannya selama tiga minggu di sana.

Begitupun, timbul kekeliruan apabila Alberts yang bertindak sebagai jurulatih skuad negara pada Piala Belia Juara-Juara (CYC) ketika dihubungi Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong untuk mendapatkan penjelasan, menafikan beliau memberitahu Asraruddin begitu.

Asraruddin dilaporkan mendapat perhatian PSV ketika mewakili negara dalam saingan CYC menentang kelab Belanda itu, Ogos lalu.

PSV dikatakan menawarkan tempat kepadanya untuk diuji dan hasrat itu diumumkan Alberts kepada media.

Namun, agak pelik apabila sehingga sekarang, tiada seorang pegawai PSV pun mendekati Asraruddin atau majikannya, Persatuan Bola Sepak Selangor secara rasmi mengenai pemilihannya ke PSV.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam kenyataannya kepada Arena Metro, semalam, turut mengakui masih belum ada tawaran rasmi daripada PSV mengenai pemilihan mana-mana pemain negara untuk menjalani ujian dengan kelab itu.

Sementara itu, persiapan pra-musim Selangor di Perth sampai ke penghujungnya apabila mereka mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Western Australia di Stadium Litis, malam ini.

Selangor masih belum mencapai kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini dengan seri 3-3 ketika berhadapan State League South, tewas 2-3 dan 3-4 masing-masing kepada Floreat Athena serta State League North.

Antara pemain skuad Gergasi Merah yang menyerlah ialah penyerang Mohd Amri Yahyah yang menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan.

(Harian Metro 27 Oktober 2007)