26.10.07
Asraruddin terkejut penafian Alberts
Oleh: Sufian Thauri Muhammed (Harian Metro)
Harian Metro 26 Oktober 2007: TERKEJUT dengan penafian Robert Alberts, pemain skuad bawah 19 tahun negara, Mohd Asraruddin Putra Omar, tegas mempertahankan dakwaannya dengan berkata, dia hanya mengulangi apa yang diucapkan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu kepadanya.
Kelmarin, Arena Metro melaporkan Asraruddin diberitahu Alberts bahawa dia tidak dapat menguji bakatnya dengan kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven, kerana Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaannya selama tiga minggu di sana.
Begitupun, timbul kekeliruan apabila Alberts yang bertindak sebagai jurulatih skuad negara pada Piala Belia Juara-Juara (CYC) ketika dihubungi Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, semalam, menafikan dia memberitahu Asraruddin begitu.
"Apa yang dia beritahu, itu yang saya beritahu balik.
"Alberts menghantar surat kepada majikan saya, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bahawa saya akan berlepas ke PSV, 18 Oktober lalu, untuk menjalani ujian bersama kelab itu.
"Seminggu sebelum 18 Oktober lalu, saya menghubunginya untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai pemergian saya, tetapi dia memberitahu, saya tidak dapat pergi buat masa ini kerana MSN menghadapi masalah kewangan untuk menampung pemergian saya ke sana.
"Alberts juga memberitahu saya yang dia akan mencari sumber kewangan lain bagi membiayai pemergian saya ke PSV," katanya.
Asraruddin dilaporkan mendapat perhatian PSV ketika mewakili negara dalam saingan Piala Juara-Juara Belia menentang kelab Belanda itu yang terkenal dalam melahirkan ramai bintang dunia, Ogos lalu.
PSV dikatakan menawarkan tempat kepadanya untuk diuji dan hasrat itu diumumkan Alberts kepada media.
Namun, agak pelik apabila tiada seorang pegawai PSV pun mendekati Asraruddin untuk memberitahu hasrat mereka atau mengambil butiran peribadinya.
"Selepas perlawanan itu, saya tidak dihubungi atau didekati mana-mana pegawai PSV.
"Hanya tidak lama kemudian, Alberts menelefon saya dan memberitahu saya supaya membaca akhbar. Saya hanya mengetahui PSV berminat untuk menguji saya menerusi akhbar.
"Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Bukan senang hendak dapatkan peluang seperti itu," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden FAS, Datuk Mohd Satim Diman, menggesa pihak bertanggungjawab supaya lebih serius dalam menunaikan tugas memajukan bola sepak negara.
"Asraruddin diwar-warkan akan pergi ke PSV, tetapi sampai sekarang masih belum ada kepastian.
"Saya sendiri tertanya-tanya bila dia akan pergi. Kalau hendak dapatkan hasil yang baik, kita perlu buat pelaburan.
"Jika peluang tidak diberikan kepada pemain, bagaimana kita hendak melahirkan pemain yang berpotensi," katanya.
Beliau juga memberitahu setakat ini FAS tidak menerima sebarang hitam putih daripada PSV yang memberitahu mereka mahu menguji Asraruddin.
Dalam perkembangan lain, Selangor yang dalam rangka persiapan pra-musim di Perth tewas 3-4 kepada pasukan State League North pada perlawanan persahabatan, malam tadi.
Ketinggalan 0-3 di awal permainan, Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma D Surendran pada minit ke-26, rembatan Mohd Amri Yahyah m-52 dan R Surendran m-54, namun dihampakan apabila lawan mendapat gol kemenangan lapan minit sebelum perlawanan tamat.
(Harian Metro 26 Oktober 2007)