25.10.07
MSN nafi abai Asraruddin
Oleh: Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)
MAJLIS Sukan Negara (MSN) semalam menafikan mereka sebagai punca kegagalan Mohd Asraruddin Putra Omar menjalani ujian tiga minggu bersama kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven yang sepatutnya menjadi realiti pada 19 Oktober lalu.
Sambil menyifatkan pihaknya tidak mengetahui perkara sebenar, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong menolak dakwaan keengganan membantu dari segi kewangan sebagai faktor penyebab pemergian Asraruddin mencari tapak di benua Eropah, tidak menjadi kenyataan.
"Dalam perkara ini, tidak timbul langsung isu mengenai MSN tidak ingin membantu Asraruddin kerana tidak pernah ada perbincangan mengenai perkara itu di antara kami dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya yang menghubungi sendiri Pengarah Teknikal FAM, Robert Alberts bagi mendapatkan kisah sebenar mengenai kemelut membabitkan pemergian pemain muda itu.
Kelmarin, Asraruddin, 19, memberitahu Arena Metro yang Alberts sendiri memberitahunya MSN tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaannya bagi menguji bakat di PSV, sebagai alasan tidak menghantarnya ke Belanda. Alasan dikemukakan Alberts itu diberitahu kepada Asraruddin ketika dia menghubungi jurulatih skuad negara bagi Piala Juara-Juara Belia (CYC) itu untuk mengetahui kedudukannya, seminggu sebelum dijadualkan bertolak ke PSV.
Bagaimanapun alasan Alberts itu menimbulkan persoalan terhadap MSN kerana sebagai organisasi yang memiliki kedudukan kewangan kukuh untuk menampung pelbagai program sukan negara, sudah pasti badan itu akan membantu usaha bagi melonjakkan tahap prestasi seseorang atlit.
"Tapi, Alberts pula memberitahu saya, dia tidak pernah mengeluarkan alasan seperti itu," kata Zolkples sambil menekankan pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu Asraruddin jika diminta berbuat sedemikian kerana menyifatkan peluang sebegitu sesuatu yang amat jarang diperolehi dan tidak seharusnya dilepaskan begitu saja.
"Apapun, saya sudah lama menyarankan kepada FAM supaya memperbanyakkan program untuk membolehkan pemain kita beraksi di luar negara, tapi mesti ada saluran yang betul dan program dirancang dengan baik dan bukannya secara tergesa-gesa."
Asraruddin yang mempamer aksi cemerlang ketika menentang PSV pada kejohanan CYC, Julai lalu, memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan bagi menggantikan Mohd Bunyamin Umar yang cedera. Dia kini bersama-sama skuad Selangor yang sedang menjalani perlawanan persahabatan pra-musim di Perth, Australia.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, beliau mahu menunggu laporan penuh daripada semua pihak yang terbabit sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.
"Perkara ini berlaku sebelum saya memegang jawatan di FAM. Saya perlu sedikit masa untuk mendapatkan laporan daripada semua yang terbabit termasuk MSN sendiri," katanya.
(Harian Metro 25 Oktober 2007)