28.10.07
Pemain muda cepat gemuruh
Oleh: SUFIAN THAURI MUHAMMED, Harian Metro

Metro Ahad melaporkan dari Australia hari ini: Perbezaan kualiti permainan antara pemain senior dan muda Selangor jelas kelihatan sepanjang pasukan itu mengharungi empat perlawanan persahabatan dalam persiapan pra-musim mereka di Perth, minggu ini.
Pengendalinya, Dollah Salleh menguji semua 26 pemainnya dengan menurunkan mereka dalam keempat-empat perlawanan, tapi prestasi pasukan berubah apabila lebih ramai pemain muda diturunkan.
"Perlawanan persahabatan kedua menentang kelab Floreat Athena adalah contoh terbaik.
"Kami dapat bersaing dan mengikat kedudukan 1-1 di separuh masa pertama, tapi keadaan berubah apabila lima pemain muda dibawa masuk pada babak kedua.
"Rentak perlawanan bertukar dan lawan dapat menjaringkan dua gol gara-gara kelekaan pemain," katanya.
Begitupun, secara keseluruhan Dollah puas hati dengan persiapan mereka di Perth terutama apabila melihat gandingan barisan hadapannya yang semakin serasi.
Skuad Gergasi Merah musim ini dibarisi agak ramai pemain muda berusia antara 19 hingga 22 tahun dan di bahagian pertahanan, meskipun memiliki semangat tinggi, namun mereka tampak agak goyah dan sesekali leka dalam mengawal pergerakan pemain lawan.
Hanya Mohd Nasriq Baharom tampak konsisten di benteng pertahanan dan dia mempamerkan keberanian serta bijak dalam mencabar lawan.
Gawang gol yang dikawal Megat Amir Faisal dan Mohd Suffian Abd Rahman Kungi Raman juga kelihatan kurang meyakinkan kerana mereka beberapa kali melepaskan gol yang mudah.
Begitupun, prestasi baik ditunjukkan jentera tengah dan serangan apabila gandingan Mohd Fadzli Saari, R Surendran, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, D Surendran serta Mohd Amri Yahyah tampak berbahaya dalam mengasak kubu lawan.
Berdasarkan prestasi mereka di Perth, Selangor dijangka tambah gagah di dua posisi itu apabila kaptennya, Shukor Adan pulih daripada kecederaan dan empat pemain yang bersama skuad kebangsaan - Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal - kembali ke pangkuan pasukan.
Sementara itu, andai segalanya berjalan lancar, Selangor bakal menjadi pasukan Liga M pertama mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab handalan luar negara.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mohd Satim Diman, berkata rundingan sedang dijalankan dengan beberapa kelab bagi memeterai MoU yang akan memberikan faedah kepada kemajuan bola sepak negeri.
"Kami dalam rangka menjalin MoU dengan kelab-kelab terbaik dunia, tetapi buat masa ini saya fikir elok jangan dedahkan nama kelab terbabit.
"Berbekalkan MoU itu, kami akan dapat menghantar pemain bukan sahaja daripada Liga Super, tetapi juga Piala Presiden dan peringkat umur yang lain untuk menjalani latihan bersama kelab terbait.
"Jurulatih-jurulatih juga akan dihantar bagi memperkemaskan pengetahuan mereka dalam bola sepak," katanya.
Mengenai Selangor yang menutup tirai persiapan pra-musim mereka di Perth, Satim berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi barisan hadapan yang menjaringkan lapan gol dalam tiga perlawanan, tetapi tidak barisan pertahanan.
Justeru, kehadiran tiga pemain import yang akan diuji minggu depan amat dinanti-nantikan. Ketiga-tiga mereka sudahpun berada di Malaysia ketika ini.
Pemain itu adalah Toyyin Sanni dari Nigeria; bekas pemain kelab Inggeris, Southampton, Marco Antonio Almelda yang mempunyai ketinggian 188sm dan pemain kelab Racing Strasbourg di Perancis, Edgard Lou Groleba
(Harian Metro 28 Oktober 2007)