Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.10.07

Zaiza enggan berpaut pada reputasi Zainal

Oleh: Sufian Thauri Muhammed (Harian Metro)

PERUMPAMAAN ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi paling sesuai untuk menggambarkan situasi yang diharungi pemain pertahanan Selangor, Mohd Zaiza Zainal Abidin ketika ini.

Anak kepada bekas penyerang berbisa negara dan Selangor, Zainal Abidin Hassan, ini dalam proses membina reputasi sehebat bapanya yang menggegarkan arena bola sepak tempatan dan antarabangsa dari era 1980-an hingga 1990-an.

Secara kebetulan, dua lagi bapa saudaranya, Hanafiah dan Khalid Ali turut mencipta nama sebagai pemain kebangsaan era 1970-an dan awal 1980-an.

Berikutan pencapaian cemerlang bapanya, Zaiza tidak dapat lari daripada perbandingan yang sering dibuat peminat.

"Ramai orang membandingkan keupayaan saya dan ayah, tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa kami bermain dalam era yang berbeza.

"Saya ingin membina kerjaya saya sendiri tanpa bergantung kepada reputasi ayah," katanya yang kini menyertai persiapan pra-musim Selangor di Perth, Australia.

Seperti bapanya, Zaiza juga mampu beraksi sebagai penyerang dan dia bermain di posisi itu ketika mewakili skuad bawah 19 tahun Selangor.

Zainal ketika di peringkat awal eranya bermain di posisi pertahanan sebelum dipindahkan ke bahagian serangan.

Namun, perubahan posisi itu tidak pernah memberikan masalah kepada Zaiza.

"Meskipun dahulu penyerang, tetapi saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk melaksanakan tugas sebagai pemain pertahanan. Malah, saya selesa dengan posisi itu," katanya.

Skuad Gergasi Merah dalam usaha memperkuatkan benteng pertahanannya dan Zaiza yang bermain sebagai pertahanan tengah dijangka memainkan peranan penting musim ini.

Apatah lagi dengan sasaran tinggi pasukan untuk memenangi trofi, dia tidak boleh leka dalam memastikan kubu Selangor lebih kukuh berbanding musim lalu.

"Musim lalu, saya bergandingan dengan tiga pemain muda di bahagian pertahanan - Abdul Ghani Abd Rahman, Mohd Farizul Zakaria serta Mohd Nasriq Baharom - dan kami berumur antara 20 dan 22 tahun.

"Ia kali pertama kami bermain dalam Liga Super dan sudah tentu banyak pengalaman yang kami perolehi.

"Saya fikir kami semakin matang dalam permainan dan saya yakin latihan di Perth ini dapat membantu memperkuatkan benteng pertahanan kerana di sini kami berhadapan lawan yang kuat daripada segi fizikal dan tinggi dalam empat perlawanan persahabatan," katanya.

Selain Zaiza, seorang lagi anak bekas pemain Selangor bermain bersama pasukan ialah Mohd Amirul Hadi Zainal. Dia anak kepada bekas pemain tengah Gergasi Merah, Zainal Nordin.

Namun, dia tidak bersama pasukan di Perth kerana mewakili skuad kebangsaan pada kempen kelayakan Piala Dunia.

(Harian Metro 23 Oktober 2007)