21.11.07
Booker T ubah angin
Oleh: Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)
Sepanjang dua setengah musim beraksi bersama skuad Perak, Frank Seator yang meledakkan 69 gol meletakkan dirinya antara penggempur paling digeruni.
Musim ini, kelibat penyerang berusia 32 tahun itu yang turut dikenali sebagai "Booker T" kembali lagi dan kali ini hampir pasti menyarung jersi Selangor.
Dengan ketinggian 176 sentimeter serta berat kira-kira 75 kilogram, kehadiran Seator dalam kotak penalti sering kali membuatkan benteng pertahanan lawan gelisah kerana bukan mudah untuk mengekang pergerakan pemain bertubuh sasa itu.
Menurut sumber, perbincangan di antara pengurusan skuad Gergasi Merah itu dengan ejen Seator berjalan dengan cukup baik dan kedua-dua pihak secara dasarnya sudah bersetuju dengan segala syarat yang dikemukakan.
"Perbincangan berjalan lancar dan kedua-dua pihak nampaknya tidak berdepan sebarang masalah yang besar. Seator juga mempunyai pengalaman beraksi di Malaysia apabila pernah mewakili Perak, dua musim lalu.
"Hanya tinggal satu atau dua perkara yang masih memerlukan perbincangan lanjut dan Selangor cukup yakin bahawa penyerang yang mewakili kelab Indonesia, Persis Solo FC pada musim lalu itu akan melengkapkan jentera serangan Gergasi Merah," kata sumber berkenaan.
Sumber itu berkata, jika segalanya berjalan lancar, Seator atau nama penuhnya Frank Jean Seator itu akan mula mewakili Selangor pada perlawanan ketiga menentang Sarawak di gelanggang lawan, 18 Disember nanti.
Seator dilahirkan pada 24 Oktober 1975 di Liberia dan selaku pemain profesional, dia pernah beraksi bersama kelab Esperance di Tunisia selain beberapa kelab di Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Hungary dan Sweden.
Dia adalah anatara pemain senior dalam skuad kebangsaan Liberia dan pernah mewakili negaranya untuk Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2002 selain menjadi antara nadi pasukannya ketika layak untuk ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2008.
Selain Selangor, Seator juga dikatakan cuba dipikat sebuah skuad negeri lain tetapi selepas menjalani beberapa sesi latihan bersama pemain Selangor di padang FAS, baru-baru ini, aksinya ternyata mampu memikat pengurusan pasukan berkenaan.
Jika Seator sah menjadi milik Selangor, jentera serangan skuad Gergasi Merah itu bakal menghadirkan gerun kerana akan bergandingan dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin.