Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.11.07

Dollah bengang nyaris diaibkan

Oleh: Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)

Persembahan serba tidak menjadi yang dipamerkan kesebelasan utama skuad Selangor ketika menentang Johor FC ternyata meresahkan ketua jurulatih, Dollah Salleh yang menyifatkan mereka bernasib baik tidak dimalukan lawan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan seri 1-1 itu dianggap tidak sepatutnya mereka perolehi terutama apabila beraksi buat kali pertama di gelanggang sendiri dan Dollah mengakui beliau amat kecewa dengan apa dipersembahkan anak buahnya.

"Huru-hara. Memang permainan kami hari ini teruk. Apa yang cuba dilakukan pemain, semuanya tidak menjadi. Hantaran kami kerap dapat dipintas lawan dan beberapa peluang yang terhidang, terlepas begitu saja.

"Semua posisi kelihatan cukup longlai. Mujur jaringan Amri Yahyah pada minit terakhir permainan memberikan kami satu mata cukup berharga malam ini (tadi).

"Jika mahu dibandingkan perlawanan pertama, permainan malam tadi jauh lebih buruk lagi," kata Dollah.

Selaku pasukan pelawat, Johor FC lebih menguasai perlawanan dan Eddy Helmi Abd Manan menghukum kealpaan benteng pertahanan Selangor dan menewaskan Megat Amir Faisal bagi membolehkan pasukannya mendahului 1-0.

Gol sagu hati Gergasi Merah hadir seminit sebelum tamat permainan apabila cubaan pemain pertahanan Johor FC, Mohd Hamzani Omar untuk mengeluarkan bola hasil rembatan Amri, gagal sebaliknya menerjah gawang sendiri.

"Rehat selama kira-kira sebulan selepas ini akan kami gunakan sebaik mungkin. Jika berdasarkan kepada persembahan malam tadi, banyak perkara yang perlu kami lakukan.

"Begitupun, keputusan seri ini adalah lebih baik daripada tewas. Semangat melawan tetap ada walaupun permainan mereka cukup hambar," kata Dollah.