14.11.07
Dollah enggan terburu-buru ambil import
Oleh: Berita Harian
BERIKUTAN kesukaran menemui pemain import berkualiti, Selangor bakal memulakan aksi Liga Super bertemu Negeri Sembilan pada Ahad ini tanpa sebarang pemain import.
Bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh, dia enggan terburu-buru mengambil pemain import kerana mahu mengambil pemain yang benar-benar berkualiti dan mampu membantu pasukan juara 30 kali Piala Malaysia itu memburu kejuaraan pada musim ini.
"Pemain-pemain import yang diuji setakat ini belum lagi memuaskan hati saya kerana tahap permainan mereka hanya setaraf pemain tempatan dalam pasukan kami.
"Keutamaan saya adalah pemain import pertahanan kerana ia adalah bahagian yang perlu dikuatkan.
"Buat masa ini, saya boleh katakan besar kemungkinan kami tidak akan menggunakan pemain import untuk dua perlawanan pertama Liga Super pada 18 dan 21 November ini," kata Dollah.
Dollah juga mengakui, kebanyakan pemain import yang menjalani ujian pemilihan bersama Selangor, hadir dengan reputasi hebat tetapi apabila diuji mereka mempamerkan aksi kurang meyakinkan.
"Pengurusan memberi kepercayaan kepada saya memilih pemain import yang sesuai untuk pasukan kami. Oleh itu, saya perlu menilai mereka terlebih dulu. Saya tidak boleh mengambil seorang pemain hanya berdasarkan reputasinya," kata Dollah.
Dua pemain import yang diuji Selangor sebelum ini ialah pemain pertahanan dari Russia, Adam Dzeytoz dan pemain pertahanan dari Portugal, Marco Almeida tetapi selepas perlawanan persahabatan dengan Kedah kelmarin, Dollah merasakan dia memerlukan pemain pertahanan yang lebih baik.
Pemain sayap Indonesia, Elie Aiboy adalah pemain import tunggal yang sudah mengesahkan penyertaannya dalam skuad Selangor musim ini, namun pemain itu yang cemerlang bersama Selangor pada musim 2005, hanya akan tiba pada Januari selepas tamatnya saingan Liga Indonesia.