20.11.07
Dollah lega Selangor raih tiga mata
Oleh: Ammar Jazlan Mad Lela, Kosmo!
Rentak cemerlang yang dipamerkan Selangor pada aksi menentang Negeri Sembilan Naza malam kelmarin jelas melegakan jurulatihnya, Dollah Salleh.
Meskipun turun tanpa tiga pemain import, mereka tetap mempamerkan corak bertenaga untuk mencatat kemenangan 2-0 ke atas tuan rumah pada aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu.
Gabungan pemain baru dan berpengalaman yang dikemudi kapten pasukan, Shukor Adan serba menjadi sehingga menyebabkan skuad Jang terpaksa berputih mata untuk meraih sebarang mata di gelanggang sendiri.
Ketika ditemui selepas perlawanan itu, Dollah menjelaskan bahawa pendedahan berlatih di Australia sebelum kempen Liga Super bermula sedikit sebanyak membantu meningkatkan persefahaman para pemain dan prestasi pasukan secara keseluruhan.
"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini kerana matlamat kami bertandang ke tempat perlawanan untuk mengutip tiga mata sudah tercapai.
"Walaupun ia merupakan perlawanan pertama dan mendapat tentangan sengit dari pasukan lawan, pemain telah membuktikan mereka mampu menyerap tekanan dan mempamerkan permainan konsisten dari awal sehingga tamat permainan," katanya.
Tambahnya pada minit-minit awal perlawanan, pasukannya dilihat bermain agak berhati-hati dan sukar mencari rentak untuk menembusi kubu lawan.
"Bagaimanapun, sedikit perubahan taktikal yang dilakukan pada babak kedua menyebabkan kita berjaya mencuri peluang dan menjaringkan dua gol yang dicari-cari.
"Sudah pasti kemenangan ini akan membakar semangat pemain untuk melakar kemenangan pada perlawanan seterusnya ketika menentang Johor FC di Stadium Shah Alam pada 21 November nanti," ujarnya.
Sementara itu, jurulatih NS Naza, Wan Jamak Wan Hassan berkata biarpun kalah di gelanggang sendiri, namun beliau tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemainnya.
"Kita mempunyai beberapa peluang keemasan yang mampu menghasilkan gol, namun dipersia-siakan.
"Malah, walaupun bermain hanya dengan 10 pemain selepas Khairul (Anuar Baharom) dilayangkan kad merah pada minit ke-77, kita masih mampu mengekalkan rentak, tetapi peluang kami banyak dinafikan oleh tindakan penyudah yang kurang berkesan.
"Kami akan atasi kelemahan ini supaya rentak penyudah lebih berkesan pada perlawanan-perlawanan akan datang.