Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.11.07

Dollah terpaksa akur guna kudrat tempatan

Oleh: Berita Harian

GARA-gara kegagalan mendapat pemain import sesuai untuk menjadi tonggak di benteng pertahanan, jurulatih Selangor Dollah Salleh terpaksa memulakan saingan musim baru Liga Super dengan menyandarkan harapan kepada kudrat tempatan.

Namun bekas penyerang kebangsaan itu tetap menyimpan harapan terhadap anak buahnya membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi esok, apabila berdepan pasukan berwajah baru Negeri Sembilan yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan dan Telekom Melaka Wan Jamak Wan Hassan.

Bagi Dollah, kebanyakan pemain muda musim ini sudah mempamerkan kematangan, dan dia yakin mereka tidak akan mengecewakannya walaupun terpaksa mengharungi dua perlawanan awal tanpa pemain import.

“Jika bersandarkan kepada aksi pemain ketika persiapan pra-musim di Perth, saya dapat lihat peningkatan pemain muda kami seperti Nasriq (Bahrom) yang semakin matang musim ini. Saya yakin dia banyak belajar daripada musim lalu apabila kami mengharungi keseluruhan musim tanpa pemain import,” katanya.

Dollah juga dijangka melakukan sedikit rombakan di barisan pertahanan dengan meletakkan pemain serba boleh, Razman Roslan di posisi asal pertahanan tengah.

“Razman sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lututnya dan saya percaya dia mampu membentuk gandingan mantap bersama Nasriq,” kata Dollah.

Sementara itu Dollah tidak menafikan kebanyakan pemain import yang diuji Selangor adalah pemain yang sudah lama tidak beraksi secara profesional dan ini menyukarkannya meletakkan kepercayaan membuat pilihan.

“Pemain dibawa ejen dan mereka mempunyai latar belakang meyakinkan di atas kertas, tetapi apabila diuji dalam perlawanan persahabatan yang kompetitif, aksi mereka berada di tahap lebih rendah daripada pemain tempatan,” katanya.

Begitupun, Dollah mengakui dia akan terus menguji beberapa pemain import lain dan berharap menemui calon yang sesuai selepas dua perlawanan pertama Liga Super.