Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.11.07

Elie tiba awal daripada jangkaan

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (Berita Harian)

PENANTIAN peminat setia Selangor untuk kembali menyaksikan kelibat pemain sayap Indonesia, Elie Aiboy kini tidak lagi berpanjangan selepas dia mengakhiri komitmennya bersama skuad republik itu ekoran kekalahan Indonesia kepada Syria pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Menurut jurulatih Selangor, Dollah Salleh, Elie mungkin tiba ke Selangor lebih awal daripada yang dijangkakan memandangkan Indonesia sudah mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia mereka.

“Elie kemungkinan besar tiba lebih awal daripada Januari seperti yang kami jangkakan sebelum ini.

“Apa pun, kami masih perlu menunggu sehingga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menghubungi Elie untuk mendapatkan pengesahan, ” kata Dollah.

Namun, sama ada Elie tiba lebih awal atau tidak, Dollah menegaskan pemain daripada kelab Arema Malang itu tetap harus bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama Selangor kerana tiada keistimewaan diberi kepada pemain import.

“Saya akan memilih kesebelasan utama terbaik berdasarkan tahap persembahan pemain, tanpa mengira pemain import atau tempatan. Siapa yang mempamerkan aksi terbaik, dia akan berada dalam kesebelasan utama,” katanya.