Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.11.07

FAS fokus benteng

Oleh: Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)

TEMPOH rehat hampir sebulan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap semua pasukan yang bertanding di dalam Liga-M akan digunakan sebaik mungkin oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk memantapkan skuad mereka.

Paling penting, tumpuan skuad Gergasi Merah itu ialah untuk memantapkan benteng pertahanan dan ketika ini, beberapa pemain pertahanan dari Nigeria, Australia dan Brazil sedang menjalani sesi latihan bersama skuad berkenaan.

"Kami akan menggunakan waktu rehat yang diberikan FAM itu untuk mencari pemain pertahanan yang benar-benar mantap. Sesi pencarian itu akan mula digiatkan selepas pertemuan Liga Super menentang Johor FC.

"Hasil maklum balas jurulatih, Dollah Salleh, FAS bersetuju bahawa benteng pertahanan kita masih lagi tidak begitu mantap dan tidak ada gunanya memiliki rangkaian penyerang yang hebat jika kubu kami mudah dibolosi lawan.

"Hasrat kami ialah untuk mencari seorang pemain import di bahagian pertahanan dan kita akan menguji mereka pada perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada 4, 8 dan 19 Disember nanti.

"Felda United FC, KL Plus dan UPB-MyTeam masing-masing sudah bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Selangor dan itu adalah tempoh terbaik bagi kami untuk menguji pemain import yang sedang menjalani sesi ujian dengan kami," kata Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Selepas berakhirnya perlawanan malam tadi, Liga Super akan berehat selama kira-kira sebulan dan hanya akan mula bersambung semula pada 18 Disember.

Penangguhan itu bagi membolehkan semua pihak menumpukan sepenuh perhatian kepada Sukan Sea di Korat, bulan depan.

Difahamkan, Selangor mahu menggunakan khidmat pemain import di tiga posisi iaitu pertahanan, tengah dan penyerang dan setakat ini, khabar angin kuat mengatakan bahawa bekas penggempur Perak, Frank Seator sudah hampir pasti diikat skuad Gergasi Merah itu.

Selain itu, bekas pemain yang pernah membantu Selangor mengungguli tiga gelaran pada 2005, Elie Aiboy (gambar) dari Indonesia juga dikatakan akan mula menyarung jersi pasukan itu mulai awal tahun depan.