Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
20.11.07

Gergasi Merah laung keyakinan

Oleh: Lokman Zainal Abidin (Harian Metro)

SEMANGAT melawan serta keinginan untuk menang menjadi faktor yang menyumbang kepada kejayaan Selangor menumbangkan Negeri Sembilan-NAZA pada perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin.

Tanpa kelibat pemain import, anak buah jurulatih Dollah Salleh tetap mampu mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas skuad tuan rumah dan bekas bintang Selangor itu menghamburkan pujian yang bukan sedikit buat kesebelasan utama skuad Gergasi Merah itu.

Beberapa siri perlawanan persahabatan di Australia baru-baru ini berjaya menghasilkan gandingan baik buat pemain Selangor dan kunjungan itu benar-benar memuaskan hati Dollah.

"Pemain saya beraksi dengan baik dan saya kagum dengan kesungguhan mereka untuk menang. Walaupun malam tadi (kelmarin), kita tidak dibarisi mana-mana pemain import tetapi pemain yang ada mampu bermain mengikut arahan dan perancangan yang dibuat.

"Pada babak pertama, pemain belum menunjukkan keupayaan sebenar tetapi keadaan itu berubah apabila memasuki babak kedua. Sebagai jurulatih, saya faham dengan keadaan itu kerana ini adalah perlawanan kompetitif pertama sejak kesebelasan utama itu dihimpunkan.

"Gandingan Indra Putra (Mahayuddin) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) di bahagian serangan cukup memikat. Mereka juga dibantu Amri (Yahyah) yang saya turunkan di sebelah kiri," kata Dollah.

Gol skuad Gergasi Merah itu disumbangkan P Gunalan selepas mendapat hantaran lintang Akmal Rizal pada minit ke-50 sebelum Amri melengkapkan derita skuad Rusa menerusi jaringan cantik pada minit ke-65.

Walaupun menang, Dollah tidak mahu anak buahnya berasa selesa dan perlu terus berusaha membaiki beberapa kelemahan yang sudah dikenal pasti.

"Saya nampak bahawa bahagian pertahanan masih longgar dan itulah yang akan kami tekankan pada sesi latihan selepas ini. Mereka seolah-olah lambat panas dan hanya pada separuh masa kedua, posisi itu nampak sedikit mantap tetapi kita tidak mahu aksi longgar seperti itu berlaku lagi pada masa akan datang.

"Aksi penjaga gol, Megat Amir Faisal juga cukup mengagumkan dan dia berjaya menahan asakan bertubi-tubi yang dihasilkan penyerang lawan. Dia berjaya melepasi ujian pertama ini," katanya.

Malam esok, Selangor akan melayan kunjungan skuad Johor FC di Stadium Shah Alam dan Dollah sudah mula melaungkan keyakinan berdasarkan persembahan anak buahnya kelmarin.

Nota SELANGORFC.COM: Gol pertama Selangor dijaringkan oleh R Surendran dan bukannya P Gunalan seperti dilaporkan