Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.11.07

Seator ke Selangor

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (Berita Harian)

BEKAS penyerang import Perak, Frank Seator kini menjadi calon utama pemain import Selangor walaupun jurulatih pasukan, Dollah Salleh sebelum ini lebih cenderung ke arah mengambil pemain import pertahanan bagi menguatkan benteng Selangor.

Pengendali itu akur Seator adalah calon pilihannya, selepas berpuas hati dengan aksi penyerang kebangsaan Liberia itu ketika diuji menjalani latihan bersama Selangor, baru-baru ini.

“Memang kami mahu mengambil pemain import pertahanan, tetapi apabila melihat aksi Seator, saya rasa ia adalah satu kerugian jika kami tidak mengambilnya. tetapi segala-galanya kini bergantung kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Bagi saya, Seator memiliki kriteria yang mampu menguatkan lagi barisan Selangor mengharungi musim ini, ” katanya.

Namun, dia menegaskan masih mencari calon import sesuai bagi menguatkan benteng Selangor musim ini. Setakat ini, hanya pemain Indonesia Elie Aiboy disahkan akan kembali ke pangkuan Selangor, tetapi dia akan hanya tiba selepas tamat Liga Indonesia Disember ini.

Sementara itu, Dollah mengakui Selangor bernasib baik untuk seri 1-1 dengan Johor FC kerana mempamerkan aksi hambar yang hampir menyebabkan pasukan itu mengalami kekalahan pertama di tempat sendiri, kelmarin.

“Selepas ini liga akan berehat tiga minggu dan saya akan gunakan waktu itu memperbaiki kelemahan sebelum liga bersambung 18 Disember depan,” kata Dollah.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid berasa pasukannya tidak bernasib baik mencatatkan kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini, walaupun pada mulanya dia hanya mensasarkan keputusan seri.

“Saya tidak nafikan, masih banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki dalam pasukan kami. Kami juga sedang menanti dua lagi calon pemain import kami,” kata Ramlan.