Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.11.07

Selangor uji empat calon

Oleh: Lokman Zainal Abidin, Harian Metro

Empat awang import termasuk tiga bekas pemain kelab ternama dunia, FC Barcelona (Sepanyol), Dynamo Bucharest (Romania) dan Dundee United (Scotland) bakal menghangatkan saingan untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama skuad Selangor musim depan.

Semua mereka bakal bersaing untuk merebut satu posisi iaitu pertahanan tengah dan dalam sekari dua ini, mereka akan menjejakkan kaki di sini untuk diuji pada tiga perlawanan persahabatan menentang Felda United (4 Disember), KL Plus (8 Disember) an UPB-MyTeam (11 Disember).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa mereka bakal menguji kempat-empat pemain itu dalam masa terdekat ini kerana enam pemain dari Russia dan Afrika yang sudah mengharungi sesi ujian sebelum ini, gagal menarik perhatian jurulatih.

"Pemain dari Russia dan Afrika sebelum ini, sudah pulang ke negara masing-masing. Bukan mereka tidak bagus tetapi mereka tidak menepati kehendak. Kali ini, kami sudah mendapat persetujuan beberapa pemain lain untuk menghadiri sesi ujian bersama kami.

"Berdasarkan butir-butir peribadi yang diserahkan ejen pemain berkenaan, kami yakin pencarian kami di bahagian pertahanan akan berakhir dalam masa terdekat ini," kata Hamidin.

Antara pemain yang bakal diuji Selangor ialah Gbenga Samuel Okunowo yang berasal dari Nigeria serta pernah beraksi bersama FC Barcelona pada musim 1997 hingga 1999 dan 2000 hingga 2002. Selain kelab gergasi Sepanyol itu, pemain berusia 28 tahun itu juga menyarung jersi Benfica pada musim 1999 hingga 2000.

Ketika ini, Okunowo beraksi bersama-sama sebuah kelab di Ukraine dan Hamidin berkata, pemain itu bakal tiba dalam tempoh terdekat ini.

Selain Okunowo, pemain yang turut mengintai tempat di dalam skuad Selangor ialah Tchikaya Thibault dari Gabon, Afrika dan pemain berusia 24  tahun itu pernah mewakili negaranya sebanyak 30 kali dalam pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Begitupun, Thibault tidak pernah beraksi dengan mana-mana kelab i luar negaranya tetapi Hamidin berkata, usia pemain itu yang muda boleh menjadi aset berharga untuk dipertaruhkan.

Bekas pemain kelab Romania, Dynamo Bucharest, Altamir Heitor Martin, 27, yang berasal dari Brazil turut menyatakan minatnya untuk menyarung jersi Merah Kuning dan dijangka tiba selewat-lewatnya minggu depan.

"Kita turut akan menguji seorang pemain dari Australia iaitu Mark William Robertson. Berdasarkan butiran peribadinya, dia dikatakan pernah beraksi untuk kelab Scotland, Dundee United selain beberapa kelab England termasuk Burnley FC, Swindon Town FC dan St Johnston FC," kata Hamidin.