Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.12.07

Bisa seminit

Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro

PENYERANG Selangor, Mohd Safee Sali hanya memerlukan seminit sebaik sahaja dibawa masuk menggantikan Indra Putra Mahayuddin bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang, sekali gus melonjak ke tangga teratas saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Mohd Safee mula menjejak kaki ke padang pada m-63 dan rembatan kencang di luar kotak penalti berjaya membuatkan Pulau Pinang berputih mata ketika pasukan bimbingan Mohd Bakar mendahului menerusi S Thiagaran pada m-52 dan Mohd Fadzli Shaari menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

"Kemenangan itu bukanlah milik saya. Kami sama-sama bekerja dan kemasukan saya sedikit sebanyak dapat membantu pasukan.

"Saya tahu, mereka bekerja keras untuk memastikan kemenangan milik kami dan akhirnya, kami berjaya membuktikannya.

"Memang tidak dinafikan, masih ada kelemahan terutamanya persefahaman antara pemain kerana pemain seperti saya menyertai skuad B-23 kebangsaan baru saja kembali bersama pasukan negeri," katanya yang turut menjaringkan gol pertama peribadi musim ini.

Pasukan terkenal dengan jolokan Gergasi Merah kini di puncak liga dengan mengumpul 10 mata selepas meraih tiga kemenangan dan satu seri - menjarakkan tiga mata dengan pencabar terdekat, Kedah yang tewas 3-1 kepada Terengganu.

Mengenai persembahan penyerang, Frank Seator tidak sehebat ketika menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Sarawak, Jumaat lalu, Dollah berkata, keadaan kesihatan Seator tidak mengizinkannya dan menyebabkan pemain kelahiran Nigeria itu gagal menyengat.

"Dia demam sebenarnya. Pagi tadi (semalam) kami sudah membawanya ke klinik dan dia menerima suntikan. Kalau diikutkan, dia tidak boleh diturunkan tapi saya paksa dia.

"Peminat pun mahu melihat dia beraksi dalam perlawanan ini. Sebab itulah saya tetap menyenaraikan dalam kesebelasan utama," katanya.

Walaupun meraih tiga mata, Dollah masih tidak puas hati dengan corak permainan anak buahnya yang sering kali kelihatan goyah terutama di bahagian pertahanan.