31.12.07
Dollah berang aksi pemain
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian
SIKAP menyerah tanpa melawan membuatkan jurulatih Selangor, Dolah Salleh berang dengan sikap pemain-pemainnya, walaupun buat seketika berjaya bangkit merapatkan kedudukan kepada 2-3 sebelum tewas 2-6 kepada Kedah dalam Liga Super, kelmarin.
"Jika tewas tapi menampilkan semangat melawan tidak mengapa, tetapi mereka seolah-oalh terus menyerah apabila Badrul (Bakhtiar) menjaringkan gol keempat Kedah. Gol itu berjaya mematikan semangat pemain saya.
"Sepatutnya ketika itu, pemain tidak harus berputus asa. Segala-galanya tidak menjadi buat kami semalam (kelmarin). Daripada penjaga gol hingga ke barisan serangan, semuanya hancur," kata Dollah dengan nada kecewa.
Kekecewaan Dollah sememangnya berasas kerana skuad Selangor musim ini dibarisi rata-rata pemain dan bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman di peringkat antarabangsa, dan seharusnya tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi yang penuh dengan tekanan.
Kedua-dua pemain import Selangor, Frank Seator dan Evans Chisulo juga adalah pemain berpengalaman, dan tentunya kekalahan memalukan di Alor Setar sesuatu yang sukar diterima ribuan penyokong setia Merah Kuning.
Namun, Dollah masih belum mahu menekan butang kecemasan buat masa ini, dan baginya kekalahan di tangan Kedah seharusnya menimbulkan kesedaran pada pemain untuk mengubah sikap mereka menjelang pertemuan dengan Perlis, Selasa ini.
"Tiada sebab untuk saya berasa cemas ketika ini kerana kami masih lagi tiga pasukan teratas Liga Super. Kami tetap berjaya memungut 10 mata daripada lima perlawanan, dan ini hanya kekalahan pertama.
"Pemain juga seharusnya bersedia mengubah sikap selepas kekalahan dengan Kedah. Ia sudah berlalu dan kini fokus harus diberikan terhadap perlawanan dengan Perlis," kata Dollah.
Walaupun masih bersikap positif, Dollah pasti menyedari Perlis juga bukan pasukan yang mudah ditewaskan walaupun Selangor mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri.
Beraksi di tempat sendiri pasti bukan jaminan buat Selangor meraih tiga mata, apa lagi dengan Perlis pasti juga mahu bangkit daripada kekalahan 1-0 di tangan Terengganu di tempat sendiri kelmarin.