31.12.07
Dollah hairan semua kaku
Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro

SELANGOR perlu bangkit dari tidur selepas kelekaan pemain berakhir dengan kekalahan besar 2-6 oleh Kedah dalam saingan Liga Super, malam kelmarin.
Ini kerana pemain masih dibelenggu penyakit lama itu yang membuat jurulatih, Dollah Salleh terpaksa mengubah rencah baru bagi mengelakkan kekalahan memalukan terus berulang.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Segala percaturan serba tidak menjadi dalam perlawanan itu.
"Jauh sekali kalau dibandingkan ketika menentang Pulau Pinang, baru-baru ini. Saya melihat semua bahagian baik pertahanan, tengah mahupun serangan langsung tidak berfungsi.
"Akibat daripada itu, penyerang tuan rumah, Marlon Alex James kelihatan berkuasa sehingga meraih dua gol," katanya yang turut kehilangan Mohd Amri Yahyah kerana melangsungkan majlis perkahwinan dan Mohd Fadzli Shaari yang cedera lutut kanan.
Dollah berkata, kemenangan besar Kedah itu berpunca daripada kesilapan yang tidak sepatutnya.
"Sampai tahap penjaga gol pun mudah membuat kesilapan. Saya tidak tahu apa lagi yang hendak diperkatakan dan sebab itulah bermula sekarang saya mahu mereka bangkit segera.
"Harapan saya malam itu kepada Frank Seator tapi dia pun serba tidak menjadi. Boleh dikatakan segalanya tidak menjadi," katanya.
Sementara itu, pengkritik sukan, Khaidzir Ishak Ubah menggesa pemain Selangor meningkatkan fokus dan komitmen menjelang pertemuan berikutnya sekalipun ditimpa kekalahan terburuk di Alor Star.
"Kami penyokong setia skuad Merah Kuning tetap setia di belakang Dollah untuk merencana kebangkitan dengan strategi baru dalam ketiga-tiga kejuaraan Liga Malaysia 2008.
"Malah, saya harap peminat Selangor seluruh negara mengekalkan sokongan jitu dengan menyokong perjuangan Merah Kuning kerana perjalanan musim ini masih jauh.
"Kekalahan ini sekurang-kurangnya menyerlahkan kekurangan yang perlu diperbaiki untuk meraih kejayaan gemilang pada pertemuan berikutnya," katanya.