25.12.07
Dollah masih belum puas hati
Oleh: Mustapa Lakawa, Kosmo!
Rekod bersih selain kejayaan menghuni kedudukan teratas Liga Super ternyata belum memadai untuk memuaskan hati pengendali Selangor, Dollah Salleh.
Sebaliknya Dollah menyifatkan tahap persembahan anak buahnya setakat ini masih longlai dan tidak mencapai tahap yang diingini.
Kelmarin Selangor meraih tiga mata berharga selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Pulau Pinang dengan 2-1.
Dua gol Selangor masing-masing dijaringkan Mohd Fadzli Saari dan Safee Sali pada minit ke-54 dan 65 selepas S. Thiagaran meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-52.
Kemenangan yang dilakar di Stadium Shah Alam itu membolehkan skuad Gergasi Merah Kuning mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan selain menghuni kedudukan teratas liga dengan 10 mata.
"Secara peribadi saya belum mahu berbangga dengan prestasi skuad ini kerana masih banyak lagi kelemahan yang ketara di setiap posisi," jelas Dollah.
"Dalam masa yang sama saya juga mahu mengingatkan semua pemain agar tidak leka dengan kedudukan pasukan ini selaku peneraju liga, sebaliknya segera memperbetulkan segala kesilapan yang ada."
Begitupun Dollah yang pernah membimbing Selangor meraih kejuaraan treble pada musim 2005 tetap memberi kredit kepada anak buahnya ekoran kejayaan yang dilakar di gelanggang sendiri kelmarin.
"Apa yang penting adalah kemenangan dan pemain-pemain saya telah buktikan kemampuan mereka dengan meraih tiga mata pada aksi semalam (kelmarin)," jelasnya.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Kedah di Alor Star Sabtu ini, Dollah menganggap ia adalah pertemuan penting yang bakal menentukan hala tuju anak buahnya musim ini.
"Kedah adalah pasukan yang cukup mantap di setiap posisi dan sudah pasti ia akan memberi kesukaran kepada pasukan kami.
"Begitupun dengan kombinasi beberapa pemain seperti Safee, Indra Putra Mahayuddin, Shafiq Rahim, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Amirul Hadi Zainal, saya yakin Kedah daripada daripada meraih kemenangan di Alor Star," tambahnya.
Mengenai kehadiran bekas penyerang import Perak, Frank Seator, Dollah merasakan bintang antarabangsa Liberia itu belum menemui rentak terbaiknya.
"Pada aksi semalam (kelmarin), Seator sebenarnya tidak begitu cergas untuk diturunkan tetapi saya nekad untuk menggunakan khidmatnya.
"Saya yakin dia mampu untuk memberi sumbangan kepada pasukan ini," jelas Dollah.