29.12.07
Dollah optimis
Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro
KEMBALINYA Mohd Shukor Adan ke pangkuan Selangor selepas digantung satu perlawanan pasti membawa khabar gembira tetapi berlainan ke atas pemain tengah, Mohd Fadzli Shaari yang terpaksa diketepikan menjelang pertemuan dengan Kedah di Stadium Darulaman, malam ini.
Mohd Fadzli mengalami kecederaan lutut kanan ketika beraksi menentang Pulau Pinang tetapi bagi jurulatih Dollah Salleh, ketiadaan pemain itu bukan halangan untuk meraih mata penuh di tempat lawan.
“Memang dia cedera tapi saya dapat menurunkan Shukor pada perlawanan itu. Kita tahu Kedah sudah tentu mahu memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri.
“Jadi, saya sudah memaklumkan kepada pemain supaya memberikan yang terbaik,” katanya.
Mengenai penyerang Frank Seator, Dollah yakin kemampuan pemain itu selepas pulih daripada demam.
“Seator akan bergandingan dengan Safee Sali untuk menjayakan misi memburu kemenangan,” katanya.
Berdasarkan kedudukan liga, Selangor dan Johor FC antara pasukan yang belum pernah tewas, begitu juga Perlis walaupun baru melalui tiga perlawanan.
Selangor kini mengumpul 10 mata, pencabar terdekat, Perlis yang kurang satu perlawanan pula berkongsi tujuh mata dengan Terengganu, Kedah dan NS Naza.