27.12.07
Dollah pasang jerat
Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro
KEDAH cukup sinonim dengan aksi mengganas terutamanya apabila bermain di tempat sendiri dan pertemuan menentang Selangor di Stadium Darulaman, Sabtu ini, anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah pasti mahu menjadikan skuad Gergasi Merah sebagai mangsa.
Tetapi, bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh, beliau terlebih dulu menanam keazaman antara lain mahu menenggelamkan perkataan 'mengganas' yang sering dilabelkan untuk Kedah sebaliknya mahu memberikan tumpuan untuk mengulangi kejayaan seperti tiga daripada empat perlawanan lalu.
"Semua sudah tahu, Kedah cukup hebat di tempat sendiri dan saya akan pastikan mereka tidak lagi mengganas apabila menerima kunjungan kami.
"Saya percaya terhadap keupayaan untuk memastikan kemenangan keempat dan sudah tentu kita tidak akan membiarkan Kedah meraih kemenangan," katanya.
Pertemuan Kedah-Selangor dilihat satu perlawanan menarik kerana pasukan terkenal dengan jolokan Hijau Kuning membelasah Polis, 4-1 yang ketika itu berada di puncak liga.
Justeru, Dollah tidak mahu Kedah menjadikan Selangor sebagai mangsa kedua dengan memasang beberapa 'perangkap' bagi mengejutkan tuan rumah itu.
Selangor berada di puncak Liga Super dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri, tiga mata menjarakkan kedudukan dengan Kedah di tangga keempat.
Mengenai percaturan pemain, Dollah berkata, mungkin terdapat sedikit perubahan dalam kesebelasan utama memandangkan pemain tengah, Mohd Fadzli Shaari mengalami kecederaan.
"Tengoklah, saya akan melihat kepada sesi latihan dan mungkin akan ditentukan secepat mungkin," katanya.