18.12.07
Dollah tagih sumbangan Seator
Oleh: Berita Harian
Selangor - juara Piala Malaysia 30 kali pula pasti akan mendapat suntikan semangat apabila kembali menyambung saingan Liga Super dengan kehadiran penyerang import baru dari Liberia, Frank Seator yang bakal membuat penampilan pertama.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh menyambut baik kehadiran bekas permata import Perak itu, tetapi kini sukar menentukan siapa pemain paling sesuai bergandingan dengannya di posisi serangan memandangkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak akan diturunkan kerana mengalami kecederaan hamstring.
“Saya masih belum membuat keputusan siapa yang akan digandingkan dengan Seator. Ia mungkin di antara Indra (Putra Mahayuddin) atau Safee (Sali) yang baru pulang dari tugasan bersama skuad Bawah 23 tahun kebangsaan (B-23) di Sukan Sea Korat.
“Saya akan hanya membuat keputusan esok (hari ini) untuk menentukan kesebelasan utama saya, namun saya berasa gembira dengan kehadiran semula pemain B-23 seperti Safee, Amirulhadi (Zainal) dan Safiq (Rahim) kerana kehadiran mereka pasti dapat menguatkan pasukan berbanding dua perlawanan awal sebelum ini.
“Saya yakin kami kini sudah mula menemui rentak permainan terbaik selepas berjaya menewaskan UPB-Myteam 2-0 pada perlawanan persahabatan minggu lalu dan saya mengharapkan aksi terbaik yang sama daripada pemain esok (malam ini) untuk mengukuhkan kedudukan kami, ” kata Dollah ketika dihubungi di Kuching semalam.
Namun, seorang lagi pemain import baru Selangor dari Zambia, Evans Chisulo yang beraksi di bahagian pertahanan tidak dapat diturunkan kerana masih belum mendapat Sijil Pelepasan Antarabangsa (ITC) dari bekas kelabnya sebelum ini.