Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.12.07

Masih awal nobat Selangor pilihan

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

STATUS selaku pendahulu liga bukan menjanjikan tiket mudah buat Selangor apabila berdepan dengan pemenang tiga gelaran musim lalu, Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, esok.

Hakikat itu diakui penyerang Selangor, Safee Sali yang mengakui pasukan itu akan berdepan tugas berat menentang lawan yang pastinya mahu bangkit selepas tewas 1-3 kepada Terangganu, Ahad lalu.

“Masih terlalu awal menyatakan Selangor adalah pasukan pilihan kerana mendahului saingan Liga Super.

“Lagipun saingan musim ini masih panjang dan kami akan berdepan dengan penyandang Liga Super di tempat mereka yang pasti mahu bangkit selepas kalah 1-3 kepada Terengganu Ahad lalu.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama untuk menang, apa pun saya yakin jurulatih (Dollah Salleh) sudah merangka strategi tersendiri untuk berdepan Kedah,” kata Safee.

Dia yang diturunkan selaku pemain gantian ketika pertemuan dengan Pulau Pinang dan Sarawak sebelum ini, besar kemungkinan akan berada dalam kesebelasan utama selepas Dollah mula mencuba gandingan Safee dan Frank Seator dalam sesi latihan terkini Selangor.

Bagi Safee, sama ada dia diturunkan dalam kesebelasan utama atau tidak, dia tetap bersedia untuk memberikan aksi berdepan Kedah bagi memastikan pasukannya tidak pulang ke Shah Alam dengan tangan kosong.

“Saya bersedia memberikan aksi terbaik buat Selangor, tetapi terpulang kepada Dollah sama ada untuk menurunkan saya sebagai pemain utama atau simpanan. Apa yang penting bagi saya, setiap pemain yang diturunkan harus bersedia memberikan aksi terbaik kerana Kedah pasti tidak akan memberi laluan mudah buat kami,” katanya.

Sementara itu, Dollah menyuarakan keyakinan setiap pemainnya akan memberikan aksi terbaik walaupun mengakui mereka masih memerlukan masa untuk membentuk persefahaman mantap memandangkan pemain import dan skuad bawah 23 kebangsaan baru saja menjalani latihan bersama, minggu lalu.

“Memang dalam perlawanan sebelum ini keputusan perlawanan memihak kepada kami, tetapi kami masih memerlukan sedikit masa untuk membentuk persefahaman yang lebih mantap menghadapi musim ini.

“Pemain seperti pertahanan import, Evans Chisulo masih mencari keserasian bersama pemain lain. Tetapi saya yakin faktor itu tidak akan menjadi penghalang kepada setiap pemain untuk memberi aksi terbaik berdepan Kedah, ” kata Dollah.

“Saya yakin mereka akan memberikan aksi terbaik bagi mempertahankan kedudukan kami selaku pendahulu Liga Super, dan tidak menyerah mudah kepada Kedah walaupun kami beraksi di tempat mereka, ” kata Dollah.