30.12.07
Putus asa punca Selangor dibelasah
Oleh: FERZALFIE FAUZI, Utusan Malaysia
Selangor mengakui kesebelasannya terus tenggelam punca apabila tuan rumah, Kedah terus berpesta jaringan gol sebelum tamat perlawanan.
Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, pemainnya tidak menunjukkan permainan yang mantap dan ada juga tidak berada pada tahap sebenar sekali gus memberi laluan mudah kepada pasukan Kenari untuk berpesta gol.
‘‘Ketika kedudukan 3-1 pemain saya masih boleh menyaingi pasukan Kenari dengan merapatkan kedudukan 3-2 tetapi gol keempat Kedah adalah pemusnah segalanya apabila pemain saya terus putus asa,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dollah memberitahu, anak-anak buahnya terus tenggelam punca apabila Kedah menjaringkan gol keempat dan ia seolah petanda kami akan tewas dengan jaringan yang besar ditambah dengan gerakan pemain Kedah yang serba menjadi terutamanya penggempur, Marlon Alex James.
‘‘Pemain pertahanan saya tidak dapat menyekat serangan Kedah yang bertali arus dan mereka lain pula tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang.
‘‘Ini satu pengajaran kepada pemain supaya jangan terlalu mudah untuk putus asa apabila ketinggalan dan perlu berusaha dengan lebih gigih untuk memperbaiki rentak permainan,’’ tegasnya.
Kata Dollah, perlawanan Liga Super masih di peringkat awal dan Selangor mampu untuk bangkit pada perlawanan seterusnya dan mempamerkan permainan dengan lebih menarik dengan barisan pemain yang sedia ada.
‘‘Saya masih percaya dengan pemain-pemain walaupun tidak dapat menerima kekalahan dengan jaringan yang besar. Namun, masih belum terlambat untuk berada dalam kelompok tiga pasukan teratas liga.
‘‘Pemain perlu bangkit dan sedar dengan apa yang berlaku pada perlawanan kelmarin dan saya tidak akan menyalahkan pemain pertahanan sahaja kerana semua pemain di setiap posisi bermain agak teruk,’’ kata bekas pemain kebangsaan itu.
Tambahnya, pasukan yang berada di kelompok teratas liga tidak semestinya mempunyai rangkaian pemain yang mantap kerana Liga Super baru sahaja bermula manakala jurang mata antara setiap pasukan tidak jauh berbeza.