22.12.07
Seator tekad julang Selangor
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian
PERKHABARAN beberapa musim lalu yang mendakwa Frank Seator masih membawa kecederaan lutut serius dan tidak mampu beraksi di peringkat tertinggi, segera diselar penyerang antarabangsa Liberia itu dengan dua gol ketika membantu Selangor menewaskan Sarawak 2-0 dalam saingan Liga Super pada 18 Disember lalu.
Bagi Seator, dia kecewa ada beberapa pihak sebelum ini beranggapan dia tidak cergas sepenuhnya untuk beraksi dan menegaskan dia cergas sepenuhnya daripada kecederaan lutut di kaki kanan dan sumbangannya dalam pertemuan dengan Sarawak dia tidak kehilangan sengat seperti ditunjukkan ketika bersama Perak dari musim 2003 sehingga 2005.
“Ia mengecewakan saya apabila ada lagi pihak mengatakan saya masih ada masalah kecergasan. Saya cergas sepenuhnya dan jika tidak sudah pasti saya tidak akan menjalani ujian pemilihan bersama Selangor musim ini.
“Saya akan buktikan bahawa kehadiran saya dalam saingan Liga Super musim ini akan dirasai. Saya menjaringkan sekurang-kurangnya 60 gol dalam tiga musim bersama Perak dulu, dan saya cuba melakukannya bersama Selangor ” kata Seator ketika ditemui selepas sesi latihan Selangor di Shah Alam, semalam.
Seator juga menyuarakan rasa gembira kembali ke kancah Liga Malaysia musim ini bersama Selangor, selepas satu setengah musim berkelana di Indonesia bersama dua kelab utama negara itu, Persija Jakarta dan Sriwijaya FC.
Bagi Seator, selepas beraksi di Indonesia dia kini juga boleh bertutur sedikit dalam bahasa Indonesia, walaupun tidak begitu fasih ia jelas memudahkannya untuk berinteraksi dengan pemain tempatan lain berbanding ketika bersama Perak sebelum ini.
“Saya gembira bersama Selangor di Malaysia kali ini, Selangor ialah pasukan hebat dan saya berterima kasih kepada jurulatih (Dollah Salleh) yang memberi kepercayaan kepada saya untuk bersama pasukan ini.
“Saya juga gembira untuk kembali ke Malaysia kerana di sini, terdapat infrastruktur bola sepak yang lebih baik berbanding di Indonesia. Skuad Selangor juga dibarisi ramai pemain dan bekas pemain kebangsaan, bagi saya Selangor mempunyai barisan mantap musim ini, ” kata Seator