19.12.07
Seator tunjuk belang
Oleh: Mohd Hifzuddin Ikhsan, Harian Metro
BUAT pertama kali, Frank Seator tampil bersama pasukan Selangor dan kehadirannya memberikan impak yang dikehendaki apabila membantu pasukannya meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Super ketika berkunjung ke Stadium Sarawak, malam tadi.
Seator meledakkan kedua-dua gol untuk skuad Gergasi Merah pada minit ke-3 dan 65, sekali gus menyaksikan percaturan jurulatih Dollah Salleh yang menggandingkan penyerang kelahiran Nigeria itu dengan Indra Putra Mahayuddin serta Mohd Safee Sali, membuahkan hasil.
"Persembahan Seator bukan terbaik tapi sudah mencukupi untuk permulaan. Jika melihat kepada perlawanan persahabatan lalu, dia langsung tidak menjaringkan gol.
"Tapi, dua gol ini sudah cukup bermakna buat kami. Sekurang-kurangnya, Seator sudah mampu memberikan impak dikehendaki dan saya yakin dua gol itu menandakan permulaan baik untuk dirinya," katanya.
Gol pertama Seator diperolehi melalui rembatan dari sudut sukar selepas menerima hantar lintang Indra Putra manakala jaringan kedua peribadinya pula menyaksikan penyerang itu melakukan sepakan percuma yang mudah menewaskan penjaga gol Sarawak, Mohd Firdaus Ishak.
Kemenangan berharga itu membolehkan Selangor merampas kedudukan selaku pendahulu dan berkongsi persada liga bersama juara bertahan, Kedah yang turut meraih kemenangan besar selepas menumbangkan Polis, 4-1 di tempat sendiri.
Selangor dan Kedah berkongsi tujuh mata selepas melalui tiga perlawanan. Kedua-duanya mempunyai dua kemenangan dan satu seri selain menjaringkan lima gol dan bolos, satu.
Dollah berkata, barisan pertahanan yang membabitkan pemain muda berjaya menjalankan tugas dengan baik walaupun beberapa kali diasak.
"Saya cukup bangga dengan pemain dan berharap Selangor mampu meningkatkan mutu permainan untuk perlawanan akan datang iaitu menentang Pulau Pinang, Ahad ini," katanya.
NOTA SELANGORFC.COM: Selangor dan Kedah berkongsi tujuh mata selepas melalui tiga perlawanan. Kedua-duanya mempunyai dua kemenangan dan satu seri namun Kedah menjaringkan enam gol dan bolos dua, tidak seperti yang dinyatakan di dalam laporan ini