Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.12.07

Selangor 2 P Pinang 1

Oleh: SELANGORFC.COM

Selangor meneruskan permulaan baik musim 2007/2008 apabila berjaya menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Shah Alam malam ini. Turun tanpa kehadiran ketua pasukan Shukor Adan, barisan tengah Selangor dibarisi Fadzli Saari dan pemain skuad Sukan Sea negara Safiq Rahim. Turut membuat penampilan pertamanya adalah pemain antarabangsa Zambia Evans Chisulo yang beraksi di barisan pertahanan.

Walaupun menguasai sebahagian besar permainan namun tiada sebarang gol mampu dijaringkan di separuh masa pertama. Hanya peluang yang diperolehi oleh Frank Seator pada pertengahan babak pertama merupakan percubaan terbaik yang mampu dipamerkan skuad Selangor. Seator yang berjaya memperdaya penjaga gol lawan bagaimanapun menyepak liar walaupun mempunyai peluang untuk melintangkan bola kepada Indra Putra yang berseorangan di hadapan gol.

Melihatkan kepada barisan pemain gantian yang memanaskan badan sewaktu aksi berhenti rehat pastinya ketua jurulatih Dollah Salleh mempunyai banyak pilihan bagi membuat percaturan baru setelah aksi hambar dipamerkan kesebelasan utama pilihannya. Kelibat pemain seperti Safee Sali, Amirul Hadi Zainal, Asraruddin Putra Omar dan D Surendran adalah antara pilihan beliau namun tiada sebarang penggantian pemain dilakukan sebaik sahaja babak kedua bermula.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pada minit ke 52 oleh S Thiagaran hasil sepakan percuma yang gagal dikeluarkan oleh pertahanan Selangor. Namun gol tersebut seakan membangkitkan semangat skuad Merah Kuning yang menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian menerusi Fadzli yang memangku tugas ketua pasukan pada malam ini.

Seakan menghidu peluang untuk menamatkan tentangan skuad Pulau Mutiara, jurulatih Selangor Dollah Salleh membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Indra Putra Mahayuddin dan R Surendran untuk digantikan dengan Safee Sali dan Amirul Hadi Zainal. Tindakan tersebut jelas memberi kesan serta-merta apabila Safee bijak memperdayakan penjaga gol lawan hasil sentuhan pertamanya untuk membolehkan Selangor mendahului pada minit ke 65.

Selangor membuat satu lagi pertukaran dengan menggantikan Fadzli dengan Fazilidin Khalid. Kehadiran Safee dan Amirul Hadi jelas  mengkucar-kacirkan pertahanan lawan yang keletihan namun tindakan penyudah yang kurang kemas memastikan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan.

Selangor akan menentang Kedah pada 29 Disember ini di Stadium Darulaman.

SELANGOR: Megat Amir Faisal, Razman Roslan, Evans Chisulo, Nasriq Baharom, Fadzli Saari (Mohd Fazilidin Khalid), Safiq Rahim, R Surendran (Amirul Hadi Zainal), Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin (Safee Sali), Frank Seator