24.12.07
Selangor kukuh cengkaman liga
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian
SELANGOR menjarakkan diri selaku pendahulu bola sepak Liga Super selepas merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Shah Alam, malam tadi tatkala semua saingan terdekatnya gagal mencipta kemenangan, malam tadi.
Kemenangan diburu gagal dicapai pesaing terdekat, Kedah yang tewas kepada Terengganu di tempat lawan dengan Perak dan Polis yang masing-masing mengintai peluang untuk sekurang-kurangnya memintas juara trebel itu di tangga kedua gagal dalam misi mereka apabila tewas kepada Negeri Sembilan dan Perlis.
Selangor bermula garang dengan mencipta percubaan pertama seawal minit keenam dengan pemain Bawah 23 Tahun kebangsaan, Safiq Rahim meledakkan rembatan kencang dari jarak 25 meter hasil umpanan Frank Seator yang menewaskan Mohd Faizal Mohd Yusof dalam kubu Pulau Pinang tetapi sedikit tersasar.
Selangor terus menggandakan asakan dengan penyerang Liberia, Seator terlepas peluang keemasan empat minit kemudian apabila merembat sasar biarpun hanya berdepan Mohd Faizal, selepas menerima lambungan jauh Razman Roslan.
Tuan rumah menyerang secara bertali arus kubu Pulau Pinang sehingga tamat babak pertama tetapi percubaan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-30 dan P Gunalan, minit ke-34 gagal menemui sasaran.
Namun, tujuh minit selepas babak kedua bermula pemain gantian Pulau Pinang, S Thiagaran menyumbat gol pertama apabila menampan masuk bola yang gagal dikeluarkan kemas pertahanan Selangor.
Tersentak dengan jaringan itu, Fadzli Saari menyamakan kedudukan dua minit kemudian apabila merembat masuk hantaran Seator hasil sepakan percuma.
Jurulatih, Dollah Salleh memasukkan Safee Sali dan Amirulhadi Zainal pada minit ke-65 dan strategi itu membuahkan hasil apabila Safee meletakkan Selangor 2-1 di depan hasil lorongan terus Safiq dalam kotak penalti.