Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.12.07

Tak penuhi spesifikasi

Oleh: Sufian Thauri Muhammed, Harian Metro

KEGAGALAN memenuhi spesifikasi yang ditetapkan PSV Eindhoven menyebabkan dua pemain muda negara, Mohd Asraruddin Putra Omar dan Khairul Fahmi Che Mat tidak mendapat tempat dalam kelab gergasi Belanda itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, berkata PSV amat mementingkan spesifikasi itu kerana ia disifatkan penentu kepada kejayaan seseorang pemain menyesuaikan diri dengan bola sepak Belanda.

“Daripada segi skil, PSV tidak mempunyai masalah menerima kedua-dua pemain itu. Tetapi daripada aspek spesifikasi keseluruhan termasuk fizikal, mereka berpendapat pemain kita kurang sesuai.

“Sebagai contoh, Khairul mempunyai ketinggian paling minimum untuk penjaga gol di sana.

“Berikutan tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan, PSV berpendapat dua pemain itu akan menghadapi masalah sesuaikan diri dengan bola sepak Belanda,” katanya.

Asraruddin dan Khairul dibiayai promoter Piala Juara-Juara Belia, Gifted Group Limited, menjalani ujian pemilihan dengan PSV enam hari, bulan lalu.

Meskipun PSV dilaporkan puas hati dengan prestasi kedua-dua pemain itu, namun impian Asraruddin dan Khairul untuk bertapak di Belanda tidak kesampaian kerana kelab itu turut tidak berhasrat menempatkan mereka di kelab satelit di divisyen lebih rendah.

“Buat masa ini, mereka boleh menumpukan perhatian kepada mewakili pasukan masing-masing dalam liga tempatan,” kata Azzuddin.

Asraruddin mewakili Selangor yang kini mendahului Liga Super sementara Khairul penjaga gol skuad bawah 19 tahun negara yang bertarung dalam Liga Perdana.

Begitupun, kegagalan dua pemain itu menempatkan diri di PSV tidak mematahkan hasrat FAM untuk terus memberikan pendedahan berguna kepada pemain negara dengan bola sepak Eropah.

“Kami sentiasa mempunyai perancangan untuk menghantar pemain ke kelab Eropah. Minggu lalu, saya berbincang dengan sebuah kelab di United Kingdom bagi tujuan yang sama.

“Tetapi kerana belum ada keputusan yang konkrit, saya tidak mahu mengumumkan apa-apa dahulu,” katanya.

Menghantar pemain negara ke kelab Eropah adalah amalan biasa FAM dan antara pemain negara yang pernah terbabit ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Sameon serta Rudie Ramli.