21.12.07
Usah leka dibuai mimpi: Dollah
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian
DOLLAH Salleh memberi teguran kepada anak didiknya agar tidak terbuai-buai dengan kedudukan terpuji Selangor dalam Liga Super, sebaliknya segera memberi fokus kepada halangan berikut menentang Pulau Pinang di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Harapan jurulatih skuad Merah Kuning itu kini lebih berpandu kepada penilaiannya sendiri bahawa pemain bimbingannya itu jauh lebih mantap daripada skuad musim 2005 ketika dia membimbing Selangor menjulang tiga kejuaraan dalam satu musim.
“Saya dapati sudah ada peningkatan dalam permainan kami ketika ini, tetapi saya masih belum puas hati kerana saya yakin pemain mampu mempamerkan aksi lebih baik.
“Kerana itu saya mengharapkan mereka akan meneruskan usaha keras untuk meningkatkan mutu permainan menjelang perlawanan dengan Pulau Pinang. Apa yang saya dapat menilai adalah barisan musim ini lebih mantap berbanding skuad 2005,” kata Dollah, semalam.
Namun, dia akur dia belum cukup puas hati ketika ini walaupun berada di tangga teratas terikat dengan Kedah dari segi pungutan mata. Ini mungkin kerana sebahagian besar pemain seperti pemain import dan Bawah 23 Tahun Kebangsaan (B-23) baru menyertai pasukan.
Sementara itu, Dollah juga menyuarakan rasa puas hati terhadap aksi penyerang import dari Liberia, Frank Seator yang sudah mula menampilkan kelibat baik dengan jaringan dua gol ketika menewaskan Sarawak 2-0 tempoh hari.
Bagaimanapun, seperti pemain lain, Dollah tetap mengharapkan penyerang antarabangsa Liberia itu untuk meneruskan peningkatan pada perlawanan yang bakal menyusul selepas ini.
“Ketika dia menjalani ujian pemilihan dan juga perlawanan persahabatan, dia tidak menunjukkan aksi terbaiknya. Tetapi dia berjaya menampilkan permainan sebenarnya ketika berdepan Sarawak.
“Tetapi saingan musim ini baru bermula, dan saya harap Frank akan terus mempamerkan peningkatan bagi membantu kami mengharungi musim ini,” kata Dollah.
Sementara itu, pemain tengah B-23, Safiq Rahim bakal mendapat kepercayaan Dollah untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah ekoran ketiadaan kapten pasukan, Shukor Adan pada pertemuan dengan Pulau Pinang. Shukor tidak dapat beraksi akibat menerima kad merah pada perlawanan dengan Sarawak.