08.01.08
Denggi serang tonggak utama Selangor
Oleh: Abdul Hafiz Ahmad, Utusan Malaysia

Selangor rupa-rupanya membayar harga yang tinggi untuk meraih tiga mata dari Kuantan, Sabtu lalu apabila tonggaknya, Amri Yahyah diserang demam denggi ketika perlawanan bola sepak Liga Super menentang Pahang itu.
Semalam, sayap kiri lincah itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Bangi, dan tempatnya dalam skuad Gergasi Merah yang akan menentang Polis di Stadium Shah Alam, Sabtu ini masih menimbulkan tanda tanya.
Jurulatih, Dollah Salleh berkata, Amri disyaki menghidap penyakit yang disebabkan gigitan nyamuk aedes itu ketika di Kuantan yang menyaksikan kebangkitan Selangor membenam tuan rumah 3-1 hasil jaringan Frank Seator, Indra Putra Mahayuddin dan R. Surendren.
Sejak dirundung malang bertimpa dengan dibelasah Kedah 6-2 di Alor Star dan dikejutkan Perlis 1-0 di Shah Alam, Selangor kini berada di tangga keempat liga di belakang skuad Sang Kenari, Terengganu yang ditewaskan Polis 4-2 dan Negeri Sembilan.
“Turut tercedera ketika di Kuantan ialah penjaga gol, Megat Amir Faisal Megat Ibrahim Al Khalidy dan saya masih memantau keadaannya sepanjang sesi latihan dua tiga hari ini menjelang menentang Polis,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dollah bagaimanapun masih mampu menarik nafas lega dengan keadaan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli yang kini beransur pulih daripada kecederaan hamstring sejak beberapa minggu lalu.
Ia sekali gus meluaskan pilihan penyerangnya selain tetap mempertaruhkan gandingan SS (Seator-Safee Sali) yang setakat ini semakin berbisa dan menggerunkan lawan di samping sokongan daripada Indra dan Surendren.
Namun unsur terlemah Selangor iaitu benteng dan penjaga gol yang agak sukar ditampung segera biarpun mereka memiliki bek tengah dari Zambia, Evan Chisulo dan penjaga gol simpanan skuad Piala Asia negara, Julai lalu - Suffian Ab. Rahman.
Mengenai Polis yang mengejutkan Terengganu 4-2 di Selayang, minggu lalu, Dollah bagaimanapun tidak begitu bimbang dengan peningkatan anak didik K. Thaiyanathan itu terutama dengan gandingan Hillary Echesa-Azlan Ismail atau Ahmad Latif Khamaruddin.
“Kemenangan mengejut mereka membuktikan taraf kesemua pasukan Liga Super semakin setara tetapi hanya dibezakan dalam persembahan pada hari perlawanan sehingga apa sahaja boleh berlaku,” tegasnya.