Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
01.01.08

Dollah mahu pemain Merah Kuning bangkit

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

MULAKAN tahun baru dengan langkah kanan dan lupakan kekecewaan sebelum ini. Itulah peringatan jurulatih Selangor, Dollah Salleh kepada skuadnya menjelang pertemuan Liga Super dengan Perlis malam ini.

Menyedari pentingnya untuk meningkatkan moral pemain selepas diaibkan Kedah 6-2 minggu lalu, pemain Selangor mengadakan pertemuan hati ke hati dengan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman.

Bagi Dollah, sesi itu mendapat maklum balas positif daripada pemain, dan mereka diminta segera memulakan 2008 dengan aksi meyakinkan ketika berdepan Perlis.

“Datuk Satim berjaya meningkatkan kembali keyakinan pemain dan saya percaya pemain kini tahu apa yang harus mereka lakukan malam esok (malam ini).

“Tidak semestinya kita tewas kepada Kedah, kita akan kalah juga kepada Perlis. Harapan saya ialah untuk melihat setiap pemain berjuang hingga ke wisel penamat, bukannya menyerah mudah seperti pertemuan dengan Kedah.

“Kami akan bermain pada hari pertama tahun baru dan seharusnya pemain mempunyai semangat baru, ” kata Dollah.

Skuad Merah Kuning akan kembali memperoleh khidmat penyerang serba boleh, Amri Yahyah yang tidak beraksi Sabtu lalu kerana kesibukan menguruskan perkahwinannya.

Pemain tengah, Fadzli Shaari juga dijangka tidak diturunkan kerana belum pulih daripada kecederaan lutut yang dialaminya ketika menewaskan Pulau Pinang, 23 Disember lalu.

Penyerang import dari Liberia, Frank Seator dijangka kekal menerajui barisan serangan bersama penyerang kebangsaan, Safee Sali dengan Indra Putra Mahayuddin berkemungkinan diturunkan sebagai pemain sayap.

Dollah juga berharap pemainnya juga tidak akan memandang mudah cabaran Perlis, walaupun pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu tewas 1-0 di tempat sendiri pada perlawanan minggu lalu.

Kegagalan memberi tumpuan penuh pada perlawanan itu pasti dihukum Perlis, yang pasti enggan pulang ke Kangar dengan tangan kosong dan dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super.