Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.01.08

Dollah puas aksi Seator

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO)

Frank Seator berjaya menjaringkan gol pertama Selangor pada separuh masa pertama untuk membantu pasukannya menewaskan Pahang 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

Namun, aksi penyerang import dari Liberia itu sepanjang separuh masa kedua kurang menyerlah kerana Seator, 32, dilihat jarang melakukan percubaan untuk terus merobek gawang Pahang yang dikawal Syamsuri Mustafa.

Ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh bagaimanapun menganggap, keadaan itu tidak menjadi masalah kepadanya memandangkan Seator telah menjalankan tugasnya dengan baik selepas menjaringkan gol pertama Selangor.

"Itu tidak menjadi masalah bagi saya. Dia (Seator) berjaya menjaringkan gol selain membantu merencanakan corak serangan. Saya berpuas hati dengan permainannya," kata Dollah kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada perlawanan tersebut, Selangor mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi rembatan Seator (minit ke-23) dan menerusi sepakan percuma dari Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-28.

Pahang merapatkan kedudukan pada minit ke-55 hasil tandukan pemain gantian, Zainuddin Ariffin, tetapi pemain gantian Selangor, R Surendran memastikan kemenangan 3-1 skuad Gergasi Merah itu menerusi tolakan kemas pada minit ke-84.

Ditanya tentang keseluruhan prestasi pasukan Selangor pada perlawanan menentang Pahang itu, Dollah melahirkan rasa puas hati dengan aksi anak-anak buahnya dan bangga dengan persembahan mereka.

"Cuma, pada awal babak kedua, berlaku kecuaian selepas kita mendahului 2-0 dan Pahang berjayamenjaringkan gol. Nasib baik pemain Selangor bangkit semula dan dapat menambahkan jaringan.

"Sebab itulah saya selalu ingatkan kepada para pemain supaya jangan mudah leka," jelasnya.

Sementara itu, Seator menafikan dia kurang berfungsi pada babak kedua sambil memberitahu, mana-mana pasukan pun akan bermain secara bertahan apabila sudah mendahului 2-0 di gelanggang lawan.

"Mereka (Pahang) beraksi di gelanggang sendiri, jadi walau apa pun keadaan, mereka kena kembali menyerang pada babak kedua. Jadi kita perlu menyerap tekanan berbaning apabila terus menyerang," katanya.

Seator menambah, dia amat berpuas hati dengan aksi Safee Sali, gandingannya di bahagian serangan Selangor dengan menganggap penyerang skuad Sukan SEA Korat itu merupakan seorang pemain serba boleh.