Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.01.08

Gandingan Seator-Indra kian berbisa

Oleh: Asrol Awang, Berita Harian

SENTUHAN berbisa Frank Seator dan Indra Putra Mahayuddin kini mula menambat semula keyakinan Dollah Salleh yang tampak menguntum senyuman selepas menyaksikan Selangor membenam Pahang 3-1 dalam saingan bola sepak Liga Super di gelanggang lawan, kelmarin.

Ketua jurulatih skuad Merah Kuning itu jelas menghambur kata-kata pujian terhadap dua penggempur utama pasukan itu yang tidak menghampakan untuk mencari penawar duka selepas dibelasah Kedah 6-2 di Alor Star dalam perlawanan sebelum ini.

Pada tanggapan Dollah, kedua-dua penyerang berpengalaman itu berjaya membuktikan sentuhan mereka masih berbisa dan kerap berjaya menguji pemain pertahanan Pahang sepanjang tempoh perlawanan di Stadium Darulmakmur.

“Saya harap bukan sahaja Seator dan Indra akan membantu Selangor mencari bilangan gol tetapi semua pemain lain turut dapat membantu pasukan untuk meneruskan aksi cemerlang pada perlawanan seterusnya,” katanya, semalam.

Pengendali itu menegaskan bahawa skuadnya kini berada pada prestasi terbaik untuk memberi saingan kepada pasukan lain selepas kejayaan terkini itu untuk mengintai peluang merampas kedudukan selaku pendahulu liga yang kini menjadi milik Kedah.

Bekas pemain kebangsaan itu puas hati dengan corak permainan dipamerkan anak didiknya itu selepas menghadapi situasi sukar pada perlawanan sebelumnya.

“Pemain membuktikan mereka berupaya untuk menewaskan lawan jika berjaya mempamerkan prestasi menarik dan tidak mempersia-siapkan peluang yang dimiliki mereka.

“Dua gol yang diperoleh pada separuh masa pertama membuktikan bahawa kejayaan dapat dicapai jika pemain bijak memanfaatkan segala peluang yang terhidang.

“Cuma, babak kedua pemain seakan terleka dengan kelebihan dua gol hingga membenarkan tuan rumah menjaringkan satu gol.

“Nasib baik pemain pantas bangkit mengatur gerak dan tidak kenal erti putus asa sehingga berjaya mendapatkan gol ketiga,” katanya.