Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.01.08

Gol sulung suntik semangat Indra

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SELEPAS mengharungi tujuh perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini, penyerang Selangor, Indra Putra Mahayuddin akhirnya berjaya menemui sentuhan penyudahnya Sabtu lalu.

Lebih manis, gol sulung Indra dihasilkan ketika dia membantu Selangor menewaskan bekas pasukannya, Pahang 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Jelas Indra, dia lega setelah berjaya menamatkan kemarau gol dan ia dilakukan di stadium yang pernah melonjakkan namanya sepanjang empat musim bersama Pahang sebelum ini.

“Perasaan saya memang gembira dan puas kerana dapat menjaringkan gol pertama bersama Selangor.

“Ia sekali gus memberi semangat kepada diri saya sendiri untuk menjaringkan lebih banyak gol lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Penjaring terbanyak Liga Super musim 2004 itu juga mengakui, dia agak tertekan kerana gagal menjaringkan gol dalam enam perlawanan sebelum ini.

“Mula-mula memang ada rasa tekanan memandangkan saya pemain baru dalam pasukan ini. Lama-kelamaan perasaan itu hilang dan saya rasa semakin serasi dengan pemain-pemain lain.

“Gol pertama ini juga bakal melonjak kembali keazaman saya untuk lebih menyengat di depan pintu gol lawan,” jelas pemain kelahiran Ipoh itu.

Ditanya posisi manakah yang lebih digemari sama ada penyerang atau sayap kiri, Indra berkata, dia selesa beraksi di kedua-dua posisi berkenaan.

“Tak kisahlah jurulatih (Dollah Salleh) nak letak saya di bahagian sayap atau penyerang. Yang penting, saya sentiasa mahu diberi peluang beraksi dan akan berusaha memastikan tempat dalam kesebelasan utama,” ujarnya.

Biarpun berstatus pemain baru, Indra dilihat menjadi pilihan utama Dollah. Dalam tujuh perlawanan, Indra berada dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan kecuali ketika Selangor tewas 0-1 kepada Perlis minggu lalu.

“Saya harap dapat diturunkan lagi dalam kesebelasan utama apabila bertemu PDRM (Polis Diraja Malaysia) Sabtu ini. Saya mahu teruskan rentak jaringan,” tambah Indra.