30.01.08
Hadiah hari jadi Safee
Oleh: Norman Abdullah (HARIAN METRO)

MOHD Safee Mohd Sali mungkin orang paling gembira dalam skuad Selangor, malam tadi.
Penyerang skuad Merah Kuning itu bukan saja menyambut ulang tahunnya ke-24, tapi turut melengkapkannya dengan menjaringkan dua gol ketika Selangor menang 2-0 ke atas pasukan jiran, UPB/MyTeam dalam saingan Liga Super di Stadium MPPJ, malam tadi.
Jaringan Safee pada minit ke-72 dan 76 itu terus mengukuhkan kedudukan Selangor dengan 23 mata di tangga kedua liga di belakang Kedah yang terus mendahului selesa dengan 28.
“Terima kasih kepada semua rakan yang banyak membantu kerana dua gol itu memang amat bererti buat saya. Tiga mata yang kami kutip malam ini (malam tadi) memang amat bermakna untuk terus mengejar Kedah selaku pendahulu liga,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang Perak dalam perlawanan terakhir pusingan pertama, Sabtu ini, Safee berjanji akan terus memberikan yang terbaik terhadap perlawanan itu kerana skuad Seladang bukan calang-calang pasukan yang mudah ditewaskan.
“Pastinya perlawanan itu nanti hebat kerana mata Perak tidak banyak beza dengan kami. Saya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik nanti, apatah lagi kami akan bermain di Shah Alam, di depan penonton sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, kemenangan itu turut melegakan jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang agak gusar melihat persembahan anak buahnya di separuh masa pertama apabila gerakan mereka tidak begitu menjadi dan sering dipatahkan lawan.
“Ketika rehat, saya beritahu mereka yang macam mana sekalipun, saya mahukan tiga mata. Kata-kata itu mungkin menyedarkan pemain saya dan mereka akhirnya menjaringkan dua gol. Tahniah juga kepada Safee yang menyambut hari jadi hari ini kerana menjaringkan dua gol itu,” katanya.
“Memang pada separuh masa pertama permainan kami agak mengecewakan, apatah lagi padang licin sehingga menyukarkan kami untuk menjaringkan gol awal. Tapi nasib kami baik kerana dapat menggunakan sepenuhnya peluang selepas rehat.”
Sementara itu, penolong jurulatih UPB/MyTeam, Rashid Hassan, berkata bahagian serangan yang gagal menggunakan sepenuhnya peluang terhidang untuk menjaringkan gol mengakibatkan mereka kehilangan tiga mata.
Selangor bukannya apa sangat, kalau hendak dibandingkan, peluang kami lagi banyak. Tapi, inilah bola sepak, kalau kita tidak gunakan peluang, kita tewas,” katanya.