Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
09.01.08

Kecederaan Megat tak serius

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PENJAGA gol utama Selangor, Megat Amir Faisal Al Khalidy Ibrahim dijangka dapat diturunkan pada perlawanan menentang PDRM di Stadium Shah Alam, Sabtu ini setelah kecederaannya didapati tidak serius
.
Ketika Selangor menewaskan Pahang 3-1 di Kuantan pada Sabtu lalu, Megat Amir, 30, terpaksa diusung keluar pada minit ke-70 akibat buku lalinya terseliuh selepas dirempuh salah seorang pemain Pahang.

Penjaga gol simpanan, Mohd. Suffian Ab. Rahman dibawa masuk menggantikan Megat Amir dan ia merupakan aksi pertama Suffian dalam saingan Liga Super musim ini.

Megat Amir berkata dia sudah mula menjalani latihan ringan sejak malam kelmarin dan kembali turun berlatih seperti biasa di padang latihan petang semalam.

“Kecederaan ini nampak tak serius. Bengkak di buku lali yang terseliuh ini pun dah makin surut. Insya-allah saya boleh turun beraksi Sabtu ini,” ujarnya.

Jelasnya, kecederaan itu tidak sedikit pun menjejaskan semangat dan fokusnya untuk terus membantu Selangor mendaki carta Liga Super musim ini.

“Kita sudah dapat momentum ketika ini dan diharap ia akan meningkat dan dapat diteruskan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.”

Sementara itu, seorang lagi pemain Selangor, Amri Yahyah belum dapat meneruskan sesi latihan kerana mengalami demam denggi dan masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi.