19.01.08
Ketibaan Elie tertangguh lagi
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk menggunakan khidmat pemain import dari Indonesia, Elie Aiboy.
Pada asalnya, pemain tengah skuad kebangsaan Indonesia itu dijadualkan memulakan aksi sulung bersama skuad Merah Kuning itu, hujung bulan ini.
Kelewatan itu disebabkan Elie masih mempunyai tugas yang belum selesai bersama pasukannya ketika ini iaitu Arema Malang yang masih beraksi dalam saingan lapan pasukan terbaik Liga Indonesia bagi merebut Piala Liga Indonesia 2007.
Sepatutnya, Elie hanya perlu menyelesaikan tiga perlawanan peringkat kumpulan bersama Arema Malang iaitu menentang Persiwa (Rabu lalu), Sriwijaya (semalam) dan PSM (esok).
Jika Arema Malang layak ke separuh akhir sekalipun, perlawanan dijadualkan berlangsung pada 24 Januari dan perlawanan akhir pada 27 Januari.
Jadi, mengikut jadual asal, Elie dijangka dapat menyertai Selangor pada perlawanan ke-11 Liga Super menentang UPB-MyTeam pada 29 Januari depan.
Namun, jadual perlawanan Liga Indonesia itu telah ditunda semalam setelah berlaku rusuhan penonton pada perlawanan antara Arema Malang dengan Persiwa, Rabu lalu.
Ia berpunca daripada sikap sebahagian penonton yang tidak puas hati dengan keputusan pengadil membatalkan tiga jaringan Arema Malang.
Mengikut jadual baru itu, tiga perlawanan peringkat kumpulan terpaksa diubah dengan Arema bertemu semula Persiwa pada 21 Januari, Sriwijaya (23 Januari) dan PSM (26 Januari).
Saingan separuh akhir hanya akan berlangsung pada 6 Februari dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 9 Februari depan.
Jadi, jika Arema Malang berjaya melangkah sehingga ke perlawanan akhir, maka Elie hanya akan mula beraksi bersama Selangor pada pusingan kedua Liga Super ketika menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh pada 12 Februari depan.
Lantas, Selangor masih perlu beraksi tanpa kelibat Elie untuk tiga perlawanan iaitu menentang Brunei DPMM FC (26 Januari), UPB-MyTeam (29 Januari) dan Perak di Shah Alam (2 Februari).
Jika Arema Malang digantung daripada meneruskan saingan Liga Indonesia itu kerana rusuhan penyokong mereka pada Rabu lalu, Elie mungkin akan dilepaskan ke Selangor lebih awal.