21.01.08
Persahabatan: Selangor 1-1 PKNS
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
KETIADAAN perlawanan pertengahan minggu membolehkan dua pasukan, Selangor dan PKNS mengadakan satu perlawanan persahabatan di Padang PKNS, Kelana Jaya malam tadi.
Perlawanan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan pada babak kedua oleh Fadzilidin Khalid (gambar) untuk Selangor dan Alafi Mahmud untuk PKNS.
Pada separuh masa pertama, Selangor menurunkan kesebelasan utama dengan penjaga gol, Megat Amir Faisal dibantu barisan pertahanan yang terdiri daripada Razman Roslan, Nasriq Baharom, D. Surendran dan P. Gunalan.
Shukor Adan dan Safiq Rahim bergandingan di bahagian tengah, Amirul Hadi Zainal dan Indra Putra Mahayuddin di bahagian sayap sementara posisi penyerang diisi Safee Sali dan Frank Seator.
Aksi babak pertama tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi gagal menerbitkan percubaan bahaya ke arah pintu gol lawan masing-masing untuk kedudukan 0-0 sehingga rehat.
Bermula babak kedua, Selangor melakukan pertukaran besar-besaran di mana hanya Shukor, Gunalan dan Safee yang masih berada di atas padang.
Pintu gol dikawal Suffian Ab. Rahman dengan Gunalan bergandingan bersama Evans Chisulo, Zaiza Zainal dan Ghani Rahman di bahagian pertahanan.
Shukor pula digandingkan dengan Fadzilidin Khalid di bahagian tengah sambil sayap diisi Amri Yahyah dan R. Surendran manakala Safee bergandingan dengan Akmal Rizal Rakhli di barisan serangan.
Sementara, PKNS mengeluarkan dua penyerang mereka, Mohizam Shah Dawood dan Abdul Hadi Yahya bagi memberi peluang kepada gandingan dua penyerang muda Selangor yang dipinjamkan, S. Sritharan dan Wan Mohd Hoesne.
Puas melakukan asakan demi asakan, Selangor akhirnya berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-55 hasil penyudahan kemas Fadzilidin.
Namun, selang 15 minit kemudian, PKNS berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti penyerang gantian, Alafi Mahmud.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.