01.01.08
Selangor 0 Perlis 1
Oleh: SELANGORFC.COM

Rentak sumbang Selangor berterusan apabila gagal menterjemah penguasaan perlawanan dan pelbagai peluang yang terhidang untuk tewas 0-1 kepada Perlis di Stadium Shah Alam malam tadi. Walaupun beberapa kali berpeluang menjaringkan gol, namun kecekapan penjaga gol lawan Mohd Yusof Ishak menghampakan skuad Gergasi Merah yang tewas buat kali kedua berturut-turut selepas dibelasah Kedah 2-6 Sabtu lalu.
Untuk perlawanan kali ini, jurulatih Dollah Salleh membuat dua pertukaran kepada kesebelasan utamanya dengan menggugurkan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Nasriq Baharom. Tempat mereka diambil Amri Yahyah dan D Surendran. Ternyata perubahan berikut memberi kesan apabila Selangor melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol Perlis namun ditidakkan Yusof yang beraksi cemerlang.
Pasukan pelawat kemudiannya menghukum kelalaian barisan pertahanan Selangor yang ghairah menyerang dan menjaringkan gol menerusi percubaan pertama mereka sepanjang malam pada minit ke-32 hasil jaringan Phillimon Chipeta yang menewaskan Megat Amir Faizal.
Corak permainan di separuh masa kedua kekal dengan Perlis lebih banyak bertahan sambil mengharapkan serangan balas pantas manakala Selangor buntu mencari jaringan penyamaan. Kemasukan Indra Putra dan R Surendran turut gagal membantu skuad Gergasi Merah mencari mata pertama di tahun 2008.
SELANGOR: Megat Amir Faizal, D Surendran, Razman Roslan, Evans Chisulo, Safiq Rahim (Nasriq Baharom), Shukor Adan, Amirul Hadi Zainal (R Surendran), Amri Yahyah, Frank Seator (Indra Putra Mahayuddin), Mohd Safee Sali