13.01.08
Selangor 4-1 Polis
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
TIGA gol daripada Safee Sali sepanjang babak pertama dan satu gol sumbangan pemain gantian, Akmal Rizal Rakhli pada penghujung perlawanan sudah cukup membolehkan Selangor menewaskan Polis 4-1 dalam saingan Liga Super 2007/08 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Penyerang import Polis, Hillary Echesa bagaimanapun mengejutkan pasukan tuan rumah apabila menolak masuk gol pertama skuad Sang Saka Biru itu seawal minit ke-7 menewaskan Megat Amir Faisal.
Namun, Selangor pantas bangkit setelah Safee Sali bijak menyudahkan peluang terbuka satu lawan satu dengan penjaga gol Polis selepas menerima lontaran ke dalam pada minit ke-14 untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Minit ke-29, Selangor berjaya mendahului 2-1 setelah Safee menyudahkan bola muntah di depan pintu gol Polis yang berpunca daripada percubaan awal Frank Seator.
Gandingan Safee-Seator semakin menjadi selepas itu apabila lorongan cantik Seator dari sebelah kanan berjaya disudahkan Safee untuk hatrik pertamanya musim ini pada minit ke-36.
Kedudukan 3-1 kekal hingga penghujung babak pertama.
Bermula babak kedua, Selangor mengendurkan asakan setelah selesa berkelebihan dua gol manakala Polis gagal melakukan serangan berbahaya kerana ketiadaan Echesa yang dikeluarkan akibat kecederaan.
Selangor kemudiaannya melakukan tiga pertukaran berasingan dengan memasukkan Azri Alwan Nordin, R. Surendran dan Akmal Rizal Rakhli bagi menggantikan Safiq Rahim, Safee Sali dan Amirul Hadi Zainal.
Namun, pada minit ke-80, Selangor terpaksa bermain 10 orang selepas Azri Alwan dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah setelah melakukan terjahan keras.
Ketika pengadil memberikan empat minit tambahan masa kecederaan, Akmal Rizal tidak mahu tercicir daripada senarai penjaring apabila dengan tenang menyudahkan peluang untuk gol keempat Selangor.
Kedudukan muktamad, Selangor menewaskan Polis 4-1 untuk tiga mata penuh di laman sendiri.
SELANGOR:
22-MEGAT AMIR FAISAL, 19-D. SURENDRAN, 3-RAZMAN ROSLAN, 4-EVANS CHISULO, 15-P. GUNALAN, 24-AMIRUL HADI ZAINAL (14-AKMAL RIZAL RAKHLI), 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM (31-AZRI ALWAN NORDIN), 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI (11-R. SURENDRAN)