01.01.08
Selangor mahu tebus aib
Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro

Kekalahan memalukan kepada Kedah cukup membuat pemain Selangor perit menanggungnya dan mereka tidak mahu lagi dilabelkan sebagai pasukan belasahan.
Kunjungan Perlis ke Stadium Shah Alam dilihat kesempatan buat barisan Dollah Salleh menebusnya.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin, berkata selepas mesyuarat antara pemain dan pegawai semalam, semua pemain bertekad untuk bangkit pada pertemuan itu.
Beliau berkata, kekalahan itu menyedarkan pemain supaya meningkatkan corak permainan bagi mengekalkan status pasukan terbaik musim ini.
"Mereka sudah berjanji kepada FAS dan peminat untuk bangkit. Jadi, itulah yang diharapkan supaya pemain mencatatkan kemenangan mutlak apatah lagi mereka beraksi di tempat sendiri.
"Mengikut bedah siasat, kami sudah mengenalpasti punca kekalahan besar ke atas Kedah. Semua pemain tidak menyerlah dan sebab itulah kami tewas," katanya.
Hamidin berkata, beberapa pemain terpaksa diketepikan antaranya Akmal Rizal Rakhli dan Mohd Fadzli Shaari kerana kedua-duanya mengalami kecederaan.
"Pemain pertahanan, Evan Chisulo mungkin diketepikan juga kerana kecederaan ketika menentang Kedah. Tapi, saya belum pasti lagi kerana sedang menunggu laporan perubatan selewat-lewatnya petang ini.
"Bagaimanapun, Selangor pasti gembira dengan kehadiran semual Mohd Amri Yahyah yang tidak beraksi dalam perlawanan lalu kerana majlis perkahwinannya," katanya.