26.01.08
Selangor tetap waspada jumpa Brunei DPMM
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR tidak akan memandang remeh kunjungan Brunei DPMM FC dalam pertemuan Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.
Malah kehadiran kelab dari Brunei itu tetap dipandang serius ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh (gambar) yang menganggap mereka bukan calang-calang pasukan.
Menurut Dollah, apa cara sekalipun, anak buahnya wajib menang perlawanan di gelanggang sendiri itu supaya mereka tidak terus keciciran mata.
“Saya mahu pemain-pemain bermain seperti biasa menentang DPMM FC. Bagi saya, tiada istilah pasukan yang lemah dalam semua 13 pasukan dalam Liga Super musim ini,” katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Selangor kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan 17 mata sementara DPMM FC di kedudukan kesembilan dengan 11 mata.
Dollah turut berharap sembilan pemainnya yang dipilih mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan pada 3 hingga 6 Februari depan dapat membuktikan aksi berkualiti mereka dalam pertemuan malam ini.
“Sebagai seorang jurulatih, saya sememangnya berbangga kerana sembilan pemain saya terpilih. Saya rasa mereka semua memang layak.
“Cuma, saya mahu mereka semua tahu, apabila terpilih, kualiti mereka orang pandang. Jadi, mereka kena tunjukkan mutu yang ada apabila turun beraksi,” jelasnya.
Sembilan pemain berkenaan ialah ketua pasukan, Shukor Adan, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal, Razman Roslan, P. Gunalan, Nasriq Baharom dan Asraruddin Putra Omar.
Kecuali Nasriq dan Asraruddin, tujuh pemain lain yang terpilih itu kerap menjadi pilihan Dollah untuk membarisi kesebelasan Selangor sepanjang musim ini.
Sementara itu, Dollah menafikan pertemuan malam ini akan dijadikan pentas awal untuk melihat sejauh mana kekuatan DPMM FC kerana Selangor akan bertemu sekali lagi dengan pasukan tersebut pada pusingan pertama Piala FA, 19 Februari depan.
“Saya lebih suka fokus mengikut satu perlawanan ke satu perlawanan. Apa yang penting, saya mahu menang perlawanan esok (malam ini) terlebih dahulu,” tegasnya.