Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
29.01.08

Selangor tidak mahu UPB-MyTeam bawa pulang mata

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SELANGOR tidak akan membiarkan UPB-MyTeam meraih sebarang mata pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu akan turun dengan misi mencuri tiga mata berharga dalam usaha mereka untuk terus mengejar pendahulu liga, Kedah.

Lantas, ia telah membangkitkan semangat pemain sayap kanannya, Amirul Hadi Zainal (gambar) yang mempunyai misi peribadi untuk dilaksanakan, selain membantu pasukannya mencatat kemenangan.

"Pada setiap perlawanan sebelum ini saya memang sentiasa berusaha memburu gol selain menjalankan tugas untuk membuka ruang kepada Safee Sali dan Frank Seator.

"Saya berharap pada perlawanan ini nanti, saya sendiri berjaya menghasilkan gol," katanya kepada KOSMO! semalam.

Anak bekas pemain Selangor era 80-an, Zainal Nordin itu bagaimanapun mengakui persembahannya pada perlawanan menentang Brunei DPMM, Sabtu lalu kurang memuaskan walaupun Selangor menang 2-1.

"Memang aksi saya kurang menjadi pada perlawanan Sabtu lalu, tetapi kali ini saya berjanji untuk mempamerkan aksi yang lebih baik," ujar Amirul.

Pemain berusia 22 tahun yang berasal dari Ampang itu menjadi pilihan Dollah bagi mengisi posisi sayap kanan dalam kesebelasan utama Selangor sepanjang musim ini berbanding bekas pemain Perak, R.Surendran.

Namun, kehadiran bintang import dari Indonesia, Elie Aiboy yang akan tiba minggu ini dilihat bakal menggugat kedudukan Amirul dalam kesebelasan utama.

"Saya kena berfikiran positif. Apabila Elie ada nanti, saya akan meningkatkan usaha untuk terus kekal dalam kesebelasan utama.

"Apa yang lebih penting bagi kami adalah kejayaan untuk pasukan," katanya.