Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.01.08

Sengat Indra masih berbisa

Oleh: Alias Abd Rani (Harian Metro)

Jika pada enam perlawanan lalu, Indra Putra Mahayuddin menimbulkan keresahan kepada jurulatih Selangor, Dollah Salleh kerana dia langsung tidak menyumbang gol tetapi ketika menentang Pahang, malam kelmarin dia membuktikan kehadirannya bersama skuad Gergasi Merah itu bukan sekadar pemain persinggahan.

Aksinya ketika membantu kemenangan Selangor 3-1 ke atas Pahang mengejutkan Dollah kerana selama ini bekas penyerang  Pahang itu langsung tidak menyerlah.

"Saya sendiri terkejut dengan persembahan Indra kerana dia begitu menarik perhatian saya. Berbanding sebelum ini, dia jarang menyengat.

"Apa yang diharapkan daripadanya selama ini ternyata dibalas dengan persembahan mengejutkan. Bukan dia saja, malah penyerang, Frank Seator turut cemerlang begitu juga Safee Sali.

"Saya boleh katakan semua pemain beraksi begitu cemerlang, walaupun Safee tidak menjaringkan gol. Tapi, saya katakan jaringan itu bukan semata-mata untuk individu malah pasukan," katanya.

Kemenangan itu sedikit melegakan harapan penyokong Gergasi Merah selaps mengalami dua kekalahan berturut-turut termasuk dibelasah teruk 2-6 oleh Kedah, baru-baru ini.

Ketiga-tiga gol Selangor dijaringkan oleh Seator, Indra dan R Surendran manakala gol tunggal Pahang dijaringkan Zainuddin Ariffin.

Kemenangan itu juga menyaksikan Selangor berada di tangga keempat, berkongsi 13 mata dengan tiga pasukan lain iaitu Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan Naza.

Bagaimanapun, selepas melalui tujuh perlawanan, beberapa perkara merisaukan Dollah antaranya pemain masih leka sebaik mendahului lawan.

Beliau berkata, seperti perlawanan itu (menentang Pahang), pemain banyak leka pada separuh masa kedua yang ketika itu mereka sudah mendahului 2-0.

"Kami harap perkara ini tidak akan berulang. Selepas ini, saya perlu memastikan, pemain tidak terlalu leka sehingga membuka ruang kepada lawan menjaringkan gol," katanya.