15.01.08
Terengganu 1-1 Selangor
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
HAJAT Selangor untuk membawa pulang tiga mata penuh tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Terengganu dalam perlawanan kesembilan Liga Super 2007/08 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Biarpun mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan Frank Seator (gambar), barisan pertahanan Selangor akhirnya terpaksa mengalah dengan jaringan penyamaan Fabio Flor pada minit ke-90.
Beraksi di gelanggang lawan, Selangor berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit keenam apabila hantaran jauh D. Surendran berjaya disudahkan Seator untuk menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbini Allawee.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua bermula, Terengganu yang dibimbing Yunus Alif dilihat lebih banyak mengasak bagi memburu gol penyamaan.
Di kem Selangor pula, mereka lebih banyak bertahan bagi menyerap asakan Sang Penyu.
Namun, barisan pertahanan Selangor yang diketuai Evans Chisulo dan Razman Roslan berjaya mematahkan serangan demi serangan pasukan tuan rumah.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh akhirnya membuat tiga pertukaran berasingan dengan memasukkan Fazilidin Khalid, Nasriq Baharom dan R. Surendran bagi menggantikan tempat Safiq Rahim, D. Surendran dan Amirul Hadi Zainal.
Usaha tidak putus asa Terengganu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain import mereka, Fabio Flor berjaya juga menembusi penjaga gol Selangor, Megat Amir Faisal pada penghujung perlawanan untuk kedudukan muktamad 1-1.
Dengan keputusan seri itu, Selangor kini mengumpul 17 mata selepas sembilan perlawanan tetapi masih kekal di tangga kedua Liga Super, dua mata di belakang Kedah setelah pasukan di tangga ketiga, Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada pendahulu liga itu sebentar tadi.
SELANGOR:
22-MEGAT AMIR FAISAL, 19-D. SURENDRAN (26-NASRIQ BAHAROM), 3-RAZMAN ROSLAN, 4-EVANS CHISULO, 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR, 24-AMIRUL HADI ZAINAL (11-R. SURENDRAN), 25-SHUKOR ADAN (C), 28-SAFIQ RAHIM (18-FAZILIDIN KHALID), 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI.